Kumpulan Touch ‘n Go, melalui TNG Digital Sdn Bhd (“TNG Digital”), pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, diumumkan sebagai eWallet rasmi untuk Liga Malaysia 2023. 

Menurut kenyataan rasmi MFL, Touch ‘n Go eWallet juga akan menaja liga musim 2023 bagi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala MFL, MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia.

Bagi meraikan kerjasama ini, peminat bola sepak boleh membeli tiket di laman web www.tickethotline.com.my dengan membayar melalui Touch ‘n Go eWallet untuk mendapat pulangan tunai sebanyak RM5, bagi pembelian minimum sebanyak RM50.

Promosi khas ini akan bermula dari sekarang sehingga 31 Mac 2023 tertakluk kepada terma dan syarat. Dalam beberapa bulan akan datang, pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh membeli tiket dan barangan MFL eksklusif secara terus melalui applikasi eWallet, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Sukan menjadi platform kepada orang ramai untuk bersatu apabila mereka menyokong pasukan kesayangan masing-masing. Sebagai eWallet pilihan nombor 1 negara dan digunakan lebih 19 juta pengguna, Touch ‘n Go eWallet berbangga menjadi eWallet pilihan rakyat yang menyediakan keselamatan, transaksi tanpa tunai dan cara yang selesa kepada pencinta bola sepak untuk mendapatkan tiket perlawanan serta membeli makanan dan barangan lain di stadium,” kata Alan Ni, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd.

Alan turut menambah,

“Ini kali pertama Touch ‘n Go eWallet menaja sukan bola sepak dan kita pasti kerjasama dengan MFL akan bersifat jangka panjang dan berterusan demi memberikan manfaat kepada bilangan pengguna yang semakin meningkat. Kami juga mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MFL kerana memilih Touch ‘n Go eWallet sebagai eWallet rasmi pilihan bagi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala MFL, MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia,” katanya.

Bagi pihak MFL, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam amat mengalu-alukan kedatangan Touch ‘n Go eWallet untuk bersama MFL bagi menyemarakkan lagi saingan Liga Malaysia musim ini.

“Ini satu kolobrasi yang sangat baik kerana ia memberikan satu dimensi baharu dalam penajaan Liga Malaysia yang kini bergerak ke arah satu perubahan demi kemajuaan semua kelab-kelab yang bertanding.

“Melalui aktiviti yang akan dirancang bersama Touch ‘n Go eWallet sepanjang musim ini, kami percaya penyokong dan kelab akan merasai pengalaman baharu yang menarik serta dapat mendekatkan diri mereka dengan produk-produk Touch ‘n Go eWallet,” katanya.

Penyokong bola sepak boleh mengambil bahagian dalam aktiviti berkaitan bola sepak dan memenangi pelbagai hadiah yang akan dihebahkan melalui media sosial, tidak lama lagi. Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerjasama Touch ‘n Go eWallet dan MFL bagi musim 2023, anda boleh melawat www.touchngo.com.my