Presiden Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Siti Zubaidah berkongsi detik ketika awal mula beliau mengambil alih jawatan sebagai presiden kelab dan perjalanan sepanjang menguruskan kelab yang bersaing di peringkat tertinggi Liga Malaysia itu.

Siti Zubaidah merupakan salah seorang selain Bibi Ramjani Ilias Khan yang menjadi presiden persatuan bola sepak negeri atau kelab bolasepak dalam saingan Liga Malaysia. Menurut Siti, pada mulanya beliau menganggap ianya satu perkara yang gila jika beliau menerima tawaran menjadi presiden kelab. Graduan Sains Sosial daripada Universiti Malaya (UM) ini ragu-ragu mengenai jawatan tersebut.

Siti Zubaidah
Sumber Gambar: PKNS FC

“Reaksi pertama saya ialah ini adalah sesuatu yang gila. Untuk saya, sebagai seorang wanita, pengetahuan mengenai bola sepak dan menyokong sukan ini adalah dua perkara yang berlainan,” katanya kepada NST.

Tahun pertama Zubaidah sebagai presiden nyata tidak berjalan dengan lancar apabila kelab tersebut menamatkan saingan Liga Super musim 2014 di tangga ke-12 sekaligus terjatuh ke Liga Perdana pada musim berikutnya.

PKNS management
Sumber Gambar: NST

“Tahun pertama saya (sebagai presiden kelab), PKNS terjatuh ke saingan Liga Perdana. Perkara itu sangat sukar untuk saya hadapi.”

Meskipun kehilangan status sebagai pasukan Liga Super, Siti menetapkan sasaran untuk beliau dan pengurusan pasukan untuk mengembalikan PKNS ke saingan Liga Super dalam tempoh masa dua tahun. Pada 2016, PKNS bukan sahaja menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua malah mereka turut layak ke perlawanan akhir Piala FA. Namun, mereka terpaksa berpuas hati muncul sebagai naib juara apabila tewas 2-1 di tangan Johor Darul Ta’zim.

FA Cup 2016
Sumber Gambar: JST

Setelah lima tahun menerajui PKNS FC, Zubaidah mengakui bahawa setiap hari merupakan ilmu dan pengalaman baru baginya. Tetapi beliau menegaskan tugasan beliau menjadi mudah kerana sokongan daripada staf kejurulatihan dan juga pemain.

“Semasa saya dipilih, misi saya adalah mahu menjadikan PKNS FC satu pasukan yang profesional. Saya berikan tugas mengenai taktikal dan juga teknikal kepada individu yang berkelayakan dan saya hanya fokus untuk menguruskan kelab.

“Tiada apa yang mudah dalam bola sepak. Setiap perlawanan adalah berbeza. Ada cabaran, menang dan kalah. Tiada satu perkara yang boleh diambil mudah.

“Pentadbiran bola sepak dan pengurusan kewangan adalah perkara yang paling mustahak dimana anda perlu belajar bagaimana mahu berbelanja mengikut kemampuan dan membuat keputusan yang tepat untuk pasukan,” tambahnya.