Pemilik Zamburgers, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham membatalkan hasrat untuk menjual TRW Kelantan FC selepas tiada mana-mana pihak berani tampil membeli kelab tersebut.
Baca Juga:
- Zamsaham Dapat Semangat Baru Lepas Jumpa TMJ
- Ejen Choi Moon-sik Sindir Zamsaham Agar Belajar Undang-Undang FIFA
- TERKINI: Carli de Murga Tinggalkan TRW Kelantan
Zamsaham sebelum ini memberi bayangan sedia melepaskan pasukan tersebut kepada pemilik baharu yang mampu selepas pelbagai isu ‘luar padang’ hangat diperkatakan.
Menerusi kenyataannya di laman facebook, beliau telah banyak berusaha untuk memajukan pasukan itu namun merasakan masih belum cukup bagus untuk jadi pemilik.
“Genap sudah tujuh hari (pada Selasa). Yang bercakap dan komen ramai tetapi sayangnya tiada sorang pun yang nak ambil risiko, keluar duit, atau pendek cerita ambil alih sepenuhnya A – Z Kelab TRW Kelantan FC dari saya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Malah, beliau juga telah mendapat semangat baharu selepas berjumpa dengan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
“Maka, selepas berjumpa dengan DYMM TMJ semalam, saya dapat semangat baru,inspirasi untuk saya teruskan menerajui kelab ini dan buat yang terbaik.
“Mungkin tak sekelip mata tapi berperingkat dan berfasa,” katanya.
Ia bukan perjumpaan yang biasa kerana Zamsaham turut diberikan hadiah berupa dua ekor kuda sempena sambutan hari jadinya.
Meskipun kedua-dua pemilik pasukan ini melihat kuda sebenar, namun ramai peminat berpendapat ada maksud lain yang mahu disampaikan oleh Zamsaham.
Beberapa pemain JDT bakal dipinjamkan ke Kelantan yang ketika ini sedang bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.
Pemain yang kurang mendapat minit permainan bersama JDT berkemungkinan besar bakal dipinjamkan sekaligus membantu Kelantan untuk bangkit semula dalam saingan Liga Super.
Kelantan ketika ini menduduki tangga ke-13 dimana mereka setakat ini hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan mengalami enam kekalahan.