Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam memberi bayangan tiada pasukan daripada Liga M3 dinaikkan pangkat beraksi dalam saingan Liga Super musim depan termasuk juara liga, Imigresen FC.

Beliau menjelaskan perkara itu terjadi kerana tiada mana-mana pasukan Liga M3 menghantar dokumen seperti diminta oleh MFL sehingga tamat tempoh akhir yang ditetapkan.

“Penyingkiran dan kenaikan adalah berdasarkan kepada lesen Liga Bolasepak Amatur (AFL). Hal ini kerana pasukan AFL perlu menerima lesen sebelum ‘play-off’ atau kenaikan boleh dilakukan,” jelas Stuart dipetik dalam Berita Harian. 

Ianya sekaligus membayangkan TRW Kelantan mungkin kekal beraksi dalam Liga Super walaupun menghuni kedudukan tercorot dengan hanya mengutip 8 mata daripada 22 perlawanan setakat ini.

“Sebelum saya mahu menyingkirkan pasukan perlu tahu ada yang boleh menggantikannya. Perlu mengambil kira kedudukan pasukan AFL boleh menerima lesen dan masuk ke Liga Super.

“Semua pasukan belum menyerahkan dokumen secara keseluruhan. Pasukan perlu mengambil tahu tarikh tutup diberikan MFL. Tarikh tutup sudah lepas dan setakat ini tiada pasukan AFL melengkapi syarat pelesenan,” tambah Stuart.

Stuart turut mengharapkan 14 pasukan terus kekal beraksi dalam Liga Super pada musim depan namun perubahan jumlah terbabit tetap tertakluk kepada syarat pelesenan kebangsaan.

“Integriti dan syarat pelesenan menjadi keutamaan dalam usaha memastikan saingan liga kukuh dan stabil termasuklah jika ada penyingkiran kelak,” katanya.

Isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh beberapa pasukan ketika ini turut memberi kesan dari segi pelesenan kelab kerana mereka perlu memenuhi kriteria dari segi kewangan seperti ditetapkan oleh MFL.

Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat sekurang-kurangnya empat pasukan Liga Super alami kelewatan gaji antara sebulan hingga tiga bulan yang nyata menyukarkan kehidupan pemain.