Vietnam memulakan baki saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dengan meyakinkan selepas berjaya menundukkan Indonesia 4-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Al Maktoum, Dubai sebentar tadi.
Turun dengan misi wajib menang bagi mengekalkan kedudukan di tangga teratas saingan kumpulan G, Vietnam jelas mendominasi permainan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil dari Kuwait, Ahmed Al Ali.
Peluang terbaik anak buah Park Hang-seo itu menjelma seawal minit keenam tetapi percubaan dari luar kawasan penalti berpunca daripada sepakan penjuru Nguyen Quang Hai berjaya ditepis keluar penjaga gol Indonesia, Nadeo Winata.
Corak permainan keras ditampilkan barisan pemain Indonesia yang melakukan beberapa terjahan keras terhadap pemain Vietnam.
Keadaan itu langsung tidak menyentap semangat ketua pasukan, Que Ngoc Hai dan rakan sepasukannya untuk terus mendominasi permainan sekali gus merencana serangan ke kubu Indonesia.
Gerakan Nguyen Tien Linh ke dalam kawasan penalti tidak mampu disaingi pertahanan Indonesia pada minit ke-27 tetapi rembatan kaki kiri diledakkannya berjaya dinafikan Nadeo.
Bagai mendapat tonik berguna pada rehat separuh masa pertama, Vietnam terus menggandakan asakan dan usaha mereka nyata membuahkan hasil apabila empat jaringan berjaya dihasilkan.
Jaringan pertama terhasil berpunca daripada percubaan susulan daripada Tienh Linh dalam kawasan penalti berjaya menewaskan Nadeo pada minit ke-51 meskipun barisan pemain Indonesia mendakwa bola terlebih dahulu terkena tangan penyerang tersebut.
Nguyen Quang Hai mencuri tumpuan pada minit ke-62 setelah rembatan padu menerusi kaki kiri dilepaskannya dari luar kawasan penalti bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Kem Vietnam terus melonjak gembira berselang lima minit kemudian apabila sepakan sudut yang diambil Luong Xuan Truong terus mencari Tienh Linh dan kemudiannya terkena peha Nguyen Cong Phuong lalu membolosi gawang Indonesia.
Indonesia cuba untuk bangkit melawan tetapi percubaan jarak jauh Egy Maulana Vikri sekadar singgah di palang gol pada minit ke-70.
Skuad kendalian Shin Tae-yong itu terus dirundung kecewa pada minit ke-74 setelah Vu Van Thanh melakukan percubaan melencong yang tidak mampu dihalang Nadeo untuk memberikan jaringan keempat buat Vietnam.
Kemenangan penting ini terus meletakkan Vietnam di tangga teratas dengan mengumpul 14 mata, berkelebihan dua mata di hadapan pencabar terdekat, Emiriah Arab Bersatu (UAE).