Baru-baru ini Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan tiga kejohanan baharu akan diperkenalkan untuk musim 2024/25 yang melibatkan penyertaan sebanyak 76 pasukan.

Pertambahan kejohanan itu sekaligus memberi nafas baharu kepada dua pertandingan sebelum ini iaitu AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC (AFC Cup) yang dilihat memerlukan pembaharuan.

Tiga kejohanan yang diperkenalkan ialah AFC Champions League Elite (ACLE), AFC Champions League 2 (ACL 2) dan AFC Challenge Cup (ACGL).

ACLE merupakan kejohanan top tier yang terdiri daripada 24 kelab elit di Asia. Mereka akan dibahagikan kepada 12 pasukan iaitu zon barat dan zon timur bersaing dalam format liga.

Setiap kelab akan beraksi dalam 4 perlawanan home dan away menentang 8 pasukan berbeza. Hanya 8 pasukan teratas liga sahaja mara ke Pusingan 16 (kalah mati) yang turut dimainkan secara home dan away.

Hanya pemenang pusingan 16 sahaja akan mara ke peringkat suku akhir dan seterusnya ke separuh akhir. Dua pemenang separuh akhir akan mara ke final yang berlangsung di gelanggang neutral seperti diumumkan oleh AFC.

Manakala ACL 2  ialah kejohanan tier 2 melibatkan penyertaan sebanyak 32 pasukan. Mereka dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri daripada 4 pasukan.

Setiap pasukan dalam kumpulan akan bermain dengan format round robin secara home dan away dengan dua pasukan teratas akan mara ke Pusingan 16.

Untuk pusingan 16, Suku Akhir, Separuh Akhir akan dimainkan dengan format dua kali, manakala perlawanan akhir akan dimainkan satu perlawanan sahaja.

ACGL pula ialah kejohanan tier 3 yang melibatkan 20 kelab bagi menggantikan saingan Piala AFC. Mereka dibahagikan kepada lima kumpulan dan kesemua perlawanan dimainkan sekali sahaja di venue berpusat dengan lapan kelab terbaik layak ke Suku Akhir.

Perlawanan Suku Akhir dan Separuh Akhir akan dimainkan dua pusingan iaitu home dan away dan perlawanan Akhir hanya satu perlawanan.

Lebih menarik, hadiah kemenangan kali ini cukup lumayan dengan pertambahan dua kali ganda. Juara ACLE akan menerima wang hadiah sebanyak USD12 juta (sekitar RM55.74 juta) manakala naib juara akan menerima USD 6 juta (sekitar RM27.87 juta).

Kedua-dua ACL2 dan ACGL turut akan menyaksikan peningkatan secara menyeluruh dalam dana wang hadiah dan faedah.