Bekas pemain skuad kebangsaan Belgium, Eden Hazard tampil menjelaskan sebab utama beliau mengambil keputusan untuk bersara daripada sukan nombor satu di dunia itu.

Hazard mengumumkan persaraan pada 10 Oktober lalu di usia 32 tahun kerana beliau merasakan dirinya sudah kehilangan nikmat ketika bermain bola sepak.

Apatah lagi Hazard sering kali dibelenggu dengan kecederaan sehingga menyebabkan penurunan prestasi sebaik sahaja beliau menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada Jun 2019.

Keadaan itu juga membuatkan tiada kelab Eropah yang mahukan khidmat Hazard meskipun beliau telah menamatkan kontrak bersama Real Madrid setahun lebih awal.

“Saya selalu mengatakan bahawa saya akan berhenti bermain bola sepak dengan segera sekiranya saya sudah lagi tidak berasa gembira ketika beraksi.”

“Saya tidak mahu beraksi di satu-satu kelab demi wang [merujuk kepada usaha untuk menyertai kelab Arab Saudi.”

“Saya tidak lagi menikmati latihan, begitu juga ketika bermain bola sepak. Keputusan untuk bersara adalah sangat mudah untuk diambil oleh saya,” ujar Hazard menurut sumber laporan Goal Indonesia.

Tidak seperti fasa yang boleh dikatakan kurang bernasib baik dilalui bersama Real Madrid, Eden Hazard telah menikmati karier cukup gemilang sewaktu menyarung jersi Chelsea.

Tujuh musim bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu, Eden Hazard beraksi dengan cukup cemerlang untuk memenangi dua kejuaraan EPL (2014/15 dan 2016/17 ) dan dua Liga Europa (2012/13 dan 2018/19).