Pemain import Asean Terengganu FC, Thierry Chanta-Bin berdepan dengan risiko disingkirkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2019 setelah menampilkan prestasi yang kurang memberangsangkan setakat ini.
Chanta-Bin kerap memanaskan bangku simpanan dan hanya dimasukkan sebagai pemain gantian pada beberapa perlawanan terakhir TFC. Selain itu, pengendali pasukan, Irfan Bakti turut memberi bayangan ketua pasukan skuad kebangsaann Kemboja ini bakal digantikan dengan pemain Asean yang lain.
“Sebelum ini, pemain itu tidak berada dalam senarai bakal digantikan dengan pemain lain tetapi dengan kemerosotan prestasinya termasuk corak permainan semakin tidak konsisten dan kerap hilang bola, kami mungkin akan cari pemain lain menggantikannya,” kata Irfan menurut laporan Berita Harian.
Pemain yang menyertai TFC pada musim 2018 itu mendapat tawaran untuk beraksi dalam saingan Thai League 1 pada awal musim ini. Namun, Chanta-Bin yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis bawah 17 tahun itu memilih untuk kekal bersama skuad Penyu dan berazam membantu Terengganu FC memenangi sekurang-kurangnya satu piala.
Tambah Irfan, beliau sudah mempunyai bayangan pemain Asean mana yang akan dibawa masuk bagi menggantikan Thierry Chanta-Bin. Namun, beliau masih menunggu waktu yang tepat untuk mengumumkan pemain mana yang akan menggantikan Thierry.
“Kita masih belum mantap di posisi sayap, justeru kita akan cari pemain import baharu yang mampu beraksi dengan baik di bahagian itu tetapi nama belum boleh didedahkan kerana masih lagi dalam proses,” tambah Irfan.