Pasukan Perak berazam untuk mengukuhkan pasukan sekaligus memperbaiki kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini apabila mahu membawa masuk pemain sayap skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli.
Skuad The Boss Gaurus memutuskan untuk tidak menandatangani pemain import Asean dan hanya menggunakan empat pemain import bagi saingan Liga Super pusingan pertama. Akan tetapi, prestasi yang tidak menentu membuatkan mereka mengubah perancangan dan mahu melengkapkan kuota pemain import.
Faris Ramli bukanlah satu nama asing dalam saingan Liga Malaysia apabila beliau pernah membantu Lions XII muncul sebagai juara saingan Liga Super musim 2013. Selain memenangi gelaran Liga Super, Faris turut memenangi Piala FA pada 2015 dimana Lions XII menewaskan pasukan Kelantan di pentas akhir.
Musim lalu, Faris beraksi bersama PKNS FC dibawah bimbingan Datuk K.Rajagopal. Pemain berusia 27 tahun ini membantu PKNS menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga dan mara sehingga ke peringkat separuh akhir dalam saingan Piala FA dimana PKNS tewas kepada Selangor.
Pada awal musim ini, Faris menyertai pasukan Perlis namun membuat keputusan untuk meninggalkan skuad Singa Utara setelah timbul keraguan mengenai kemampuan pengurusan untuk menguruskan pasukan.
Faris kembali ke Singapura dan menyertai Hougang United.