Juara bertahan Piala Malaysia, Perak dijangka berdepan laluan sukar dalam misi mempertahankan kejuaraan selepas diundi bersama Pahang, Pulau Pinang dan juara baharu Liga Premier, Sabah dalam saingan Kumpulan C.
Ketua jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic tidak mahu memandang mudah cabaran daripada dua wakil Liga Premier termasuk juara Sabah dan Pulau Pinang yang dianggap memiliki kualiti setanding dengan pasukan Liga Super.
Jelas Durakovic yang pernah melakar sejarah Piala Malaysia apabila menjadi pemain import pertama membantu pasukan menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut bermula tahun 1995 ketika bersama Selangor, beliau tidak mahu pemain-pemainnya masih dibuai kejayaan manis menundukkan Terengganu di pentas final musim lalu.
“Tidak mudah untuk mengatakan Perak akan menjuarai Piala Malaysia sama seperti musim lalu kerana kami perlu sedar cabaran mempertahankan kejuaraan lebih sukar berbanding merebut kejuaraan.
“Namun ia bukan alasan buat Perak untuk tidak memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus kerana kami juga memiliki misi sama seperti 16 pasukan lain iaitu mahu menjadi juara Piala Malaysia bagi musim 2019.
“Bercakap mengenai undian kali ini, saya menganggap Perak berada di dalam kumpulan agak sukar kerana semua mengetahui kualiti Pahang, Pulau Pinang dan Sabah. Sabah baru sahaja menjadi juara Liga Premier manakala Pulau Pinang tidak kurang hebatnya atau mungkin setanding dengan pasukan Liga Super.
“Apapun perjuangan harus diteruskan dan misi kami adalah mahu cuba sedaya upaya mempertahankan trofi Piala Malaysia. Saya berharap kami dapat mengulangi kejayaan manis itu sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, pasukan pencabar kejuaraan yang masih segar dengan gelaran juara enam kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi bersama Petaling Jaya City FC (PJ City), PKNP FC dan UiTM FC dalam Kumpulan B.
Manakala finalis Shopee Piala FA 2019 Kedah diundi bersama Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan dalam Kumpulan A sementara juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor, Melaka, Felda United dan PDRM diundi dalam Kumpulan D.
Kejohanan Piala Malaysia 2019 yang menggunakan format perlawanan timbal balik di peringkat kumpulan, bakal membuka tirai bermula 2, 3 dan 4 Ogos depan.