Juara enam kali, Thailand jelas tidak mampu digugat Filipina apabila mudah mencatatkan kemenangan 4-0 pada aksi kedua kumpulan A Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung di Thammasat Stadium, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Piala AFF 2022: Thailand Mahu Jumpa Harimau Malaya Di Separuh Akhir
- Piala AFF 2022: Pemain Import KDA, Sanrawat Dechmitr Dipanggil Sertai Thailand
- Piala AFF Mitsubishi Electric 2022: Thailand Kehilangan Khidmat Chanathip Songkrasin
Kemenangan itu juga meneruskan rentak cemerlang skuad Gajah Perang (Changsuek) itu yang sebelum ini menundukkan Brunei 5-0 pada aksi pembukaan di Cheras sekali gus meletakkan mereka ditangga teratas meskipun terikat enam mata dengan Indonesia berikutan kelebihan defisit jaringan.
Beraksi di laman sendiri, anak buah Mano Polking tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Teerasil Dangda menemui sentuhan jaringan pada minit ketiga.
Jaringan Thailand itu terhasil berpunca daripada sepakan percuma diambil ketua pasukan, Theerathon Bunmathan yang ditanduk masuk Teerasil untuk menewaskan penjaga gol Filipina, Julian Schwarzer Garcia.
Kritsada Kaman hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-18 tetapi jaringannya selepas menerima hantaran Theerathon dibatalkan selepas beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Dua minit kemudian, Bordin Phala pula kecewa selepas rembatan kaki kiri diledakkannya sekadar singgah di palang gol.
Penguasaan berterusan dijelmakan oleh Thailand dengan beberapa percubaan tepat tetapi penyudah tumpul dan kecemerlangan Julian Schwarzer menggagalkan usaha mereka.
Kedudukan bagaimanapun berubah pada minit ke-41 apabila Teerasil menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan susulan kekasaran dilakukan Amani Aguinaldo terhadap Ekanit Panya.
Kelebihan dua gol yang dimiliki dilihat masih belum mencukupi buat para pemain Thailand apabila Adisak Kraisorn pula mencipta jaringan pada minit ke-57.
Enam minit kemudian, Suphanan Bureerat yang beberapa kali terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan berjaya menebus kehampaan itu dengan tolakan mudah susulan gerakan lincah dimulakan Bordin dalam kawasan penalti.
Walaupun Filipina sesekali cuba mengasak dan Thailand juga berusaha menambah jaringan, ia masih belum mencukupi untuk mengubah kedudukan bagi aksi berkesudahan 4-0 memihak tuan rumah.