Thailand terancam untuk kehilangan hak tuan rumah bagi temasya AFC B-23 Tahun yang akan berlangsung pada 2020 kerana masalah penambahbaikan stadium yang sedikit perlahan daripada jadual masa yang telah ditetapkan.
Empat stadium akan digunakan bagi menjadi venue pertandingan yang akan dimulai pada 8 hingga 26 Januari tahun hadapan dimana Thailand dan satu lagi pasukan dari Asia Tenggara, Vietnam akan menjadi wakil Asia Tenggara dalam kejohanan yang diadakan dua tahun sekali itu.
Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Somyot Poompunmuang melahirkan kerisauan beliau dimana kerja-kerja penambahbaikan stadium berjalan sedikit perlahan dan beliau memberikan amaran bahawa Thailand boleh kehilangan hak tuan rumah.
“Pihak AFC belum menandatangani sebarang perjanjian dengan Thailand bagi menjadi tuan rumah kejohanan tersebut. Pasukan pemeriksaan yang akan dihantar dan mereka akan mengeluarkan kata putus. Oleh itu, semua pihak perlu mempercepatkan kerja penambahbaikan stadium yang akan digunakan. Satu kerugian besar jika kita tidak dapat menjadi tuan rumah kepada temasya AFC ini.
“Jika gagal berbuat demikian, maka skuad B-23 tahun kita tidak akan mengambil bahagian dalam kejohanan itu sekaligus terlepas peluang untuk layak ke Sukan Olimpik 2020,” kata Somyot menurut laporan Foxsport Asia.
Pasukan pemeriksa dari AFC akan mengunjungi empat stadium yang bakal digunakan sebagai venue pada October ini bagi melihat sama ada empat stadium tersebut sudah bersedia untuk digunakan atau sebaliknya.
Stadium 700th Anniversary di Chiang Mai, Stadium Universiti Thammasat di Rangsit, Stadium Nasional Rajamangala di Bangkok dan Stadium Tinsulanonda di Songkhla dipilih ungtuk menjadi venue saingan AFC B-23 Tahun edisi 2020.