Gergasi bola sepak Asia Tenggara (ASEAN), Thailand dilaporkan akan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Georgia dan Estonia pada ‘Hari FIFA’ Oktober nanti.

Baca Juga:

Perkembangan terkini itu disahkan laman rasmi pasukan bola sepak Thailand, Changsuek yang mendedahkan bahawa Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) sudah menyatakan persetujuan untuk terbang ke Eropah.

Berdasarkan ranking terkini, Georgia berada di kedudukan ke-75 dengan 1305.98 mata manakala Estonia pula dua tangga diatas Thailand utuk menduduki tempat ke-109.

Thailand akan berhadapan dengan skuad kendalian bekas bintang Perancis, Willy Sagnol itu pada 12 Oktober di Tbilisi, bagaimanapun gelanggang perlawanan masih belum disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Georgia.

Perlawanan yang pastinya mencuri tumpuan kerana bintang muda Georgia, Khvicha Kvaratskhelia begitu cemerlang ketika menyarung jersi SS Napoli. Sudah ada yang mengharapkan terdapat pertembungan antara beliau dengan Suphanat Mueanta.

Sementara itu, aksi kedua bertemu Estonia pula akan diadakan pada 17 Oktober di A. Le Coq Arena, Tallin yang merupakan pertemuan ketiga melibatkan kedua-dua pasukan.

Sebelum ini, Thailand berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 pada aksi Piala Raja Thai 2000 hasil dua jaringan yang dihasilkan Pipat Thonkanya manakala jaringan saguhati Estonia menerusi Martin Reim menerusi sepakan penalti.

Kemudiannya, berselang empat tahun juga dalam kejohanan yang sama, tuan rumah menang menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 selepas aksi 90 minit terikat tanpa jaringan di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok.

Thailand yang masih segar dengan kejayaan muncul juara Piala AFF Mitsubishi Electric buat kali ketujuh selepas menundukkan Vietnam kini mengintai peluang untuk bersaing hebat dalam saingan lebih tinggi iaitu Piala AFC.

Sumber