Thai League melalui kemaskini laman sosial instgram rasmi mereka hari ini, memberitahu bahawa mereka akan menambah kuota pemain import dari ASEAN untuk musim 2019.
Ketika ini, hanya 1 kuota import ASEAN dibenarkan namun mulai musim hadapan kuota ini akan dinaikkan kepada 3 pemain import dari negara-negara ASEAN.
Jika diperhatikan, musim 2018 ini hampir semua kelab Thai League 1 mendaftarkan pemain import dari ASEAN kecuali 3 kelab iaitu Bangkok Glass (sebelum ini bersama Kiko Insa), Ubon UMT (sebelum ini bersama Mark Hatmann) dan Muangthong United.
Dengan penambahan kuota dari ASEAN itu, sebuah kelab di Thailand dibenarkan untuk mempunyai 7 pemain import dimana komposisinya seperti berikut;
- 3 pemain import antarabangsa
- 1 pemain import dari AFC
- 3 pemain import dari ASEAN
Lebih menarik, ketiga-tiga pemain import kuota ASEAN itu boleh diturunkan dalam sesebuah perlawanan bersama pemain-pemain import yang lain.
Strategi ini dilihat sebagai satu langkah untuk mempromosikan Thai League disemua negara-negara ASEAN dengan lebih lagi selepas impak yang diterima pada musim 2018 ini cukup memberangsangkan.
Ini juga sebenarnya peluang untuk pemain negara-negara ASEAN yang lain untuk merasai kualiti liga bola sepak bertaraf Asia, yang mampu dijadikan platform ke tahap yang lebih tinggi.