Harapan pemain tengah Terengganu FC, Lee Tuck untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan dilihat pudar apabila pengurusan TFC mengambil sikap sambil lewa dalam usaha untuk mendaftarkan pemain tersebut sebagai pemain tempatan.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, sehingga saat ini TFC belum memberi maklum balas kepada badan induk bola sepak negara itu mengenai pendaftaran Tuck sebagai pemain tempatan. Ini kerana permohonan tersebut perlu dibuat oleh majikannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Isu Lee Tuck ini tidak serumit Sumareh kerana dia ada pertalian darah dengan Malaysia di mana prosesnya lebih mudah seperti Matthew Davies dan Brendan Gan.
“Jadi untuk membenarkan dia mewakili skuad negara tidak ada masalah, tetapi TFC kena mohon sendiri dengan pihak berwajib.
“Selepas selesai isu dokumentasi, baru FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan mendaftarkannya selaku pemain tempatan dan dia sudah boleh bermain untuk Malaysia sekiranya dipanggil oleh jurulatih kebangsaan,” katanya menurut laporan Terengganu11.
Selain Lee Tuck, dua lagi pemain iaitu Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula turut menjadi pilihan FAM untuk dijadikan pemain naturalisasi. Namun, sehingga kini tiada perkembangan mengenai status kedua-dua pemain.