Peminat Kedah Darul Aman nyata kecewa dengan prestasi yang ditampilkan oleh para pemain pada perlawanan Liga Super 2022 menentang Sabah yang menyaksikan kelab dari utara tanah air itu tewas dengan keputusan 4-0.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Likas semalam, penyerang berusia 41 tahun iaitu Amri Yahyah mencipta hatrik sekaligus menjadi antara penjaring tertua dalam saingan Liga Super dan meletakkan Sabah ketika ini di tangga kedua dalam carta liga dibelakang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kekalahan besar ini nyata sukar diterima oleh peminat pasukan dimana mereka bimbang dengan peluang Kedah yang akan beraksi dalam saingan Piala AFC yang akan bermula pada bulan Jun ini.

Beberapa pemain menjadi sasaran kemarahan peminat selepas tewas kepada Sabah antaranya pemain pertahanan import baharu iaitu Marc Vales yang dianggap belum menampilkan prestasi terbaik sejak dibawa masuk pada awal musim ini.

Selain itu, pemain yang diletakkan di posisi wing back juga gagal berfungsi sekaligus menyebabkan benteng pertahanan Kedah mudah dibolosi dan membenarkan bahagian serangan pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

Dalam saingan Piala AFC edisi 2022, Kedah diletakkan dalam kumpulan G bersama juara Liga 1 Indonesia 2022/2023, Bali United dan dua pasukan lain iaitu Kaya FC (Filipina) dan Visakha (Kemboja).

Sekiranya mahu memberikan saingan kepada tiga lagi pasukan lain dalam kumpulan G, skuad bimbingan Aidil Sharin ini perlu segera memperbaiki prestasi khususnya di bahagian pertahanan kerana saingan Piala AFC jauh berbeza dengan saingan Liga Malaysia.

Kedah Darul Aman akan membuka tirai saingan Piala AFC musim ini menentang Bali United pada 24 Jun.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Berusia 41 Tahun, Amri Yahyah Tiada Masalah Ledak Hatrik Bantu Sabah ‘Tibai’ Kedah 4-0

CEO Terengganu FC Terkilan MFL Ubah Jadual Tanpa Berbincang Dengan Rakan Kongsi

Khalid Jamlus Kritik Pemilik Perak, “Jangan Hina Pemain, Anda Dah Melampau!”