Selangor FC akhirnya membuat keputusan tegas tentang kontrak Yazan Al Arab.

Selangor sudah selesai melakukan siasatan dalaman ke atas Yazan Al Arab berikutan insiden kontroversi menyerang pengadil dengan menyepak pengadil tersebut.

Insiden itu berlaku dalam aksi suku akhir kedua antara Selangor FC dan Terengganu FC. Apabila pemain import mereka Yazan Al Arab bertindak ganas menyepak pengadil utama, Mohd Hasrol Mohd Amir.

Pada hari ini, Selangor FC mengesahkan bahawa kontrak pemain itu ditamatkan serta merta atas persetujuan bersama. Yazan Al Arab rasminya bukan lagi pemain Selangor FC.

Tindakan tegas terpaksa diambil kerana Yazan menunjukkan sikap tidak profesional di atas padang.

Selangor FC dalam kenyataan rasmi tentang penamatan kontrak Yazan Al Arab berkata:

“Merujuk kepada insiden yang berlaku selepas perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24.09.2023 yang melibatkan pengadil perlawanan dan Yazan Al-Arab (“Pemain”), Kelab Bolasepak Selangor (“Kelab”) telah menjalankan satu Prosiding Tatatertib berkaitan dengan insiden tersebut.”

“Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, Kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.”

“Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan Kelab.”

“Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan. Terima kasih,Yazan.”