Peminat setia skuad Hijau Kuning menerima berita mengejutkan apabila tonggak tengah pasukan itu, Lee Tuck telah berpisah dengan pasukan itu atas persetujuan bersama.

Menurut kenyataan rasmi, keputusan itu dibuat selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan bersama antara pengurusan kelab dan Lee Tuck, dengan emosi bercampur-baur.

Bagaimanapun, punca sebenar perpisahan itu tidak didedahkan dan mereka berharap para penyokong dapat menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

“Seperti mana-mana perjalanan pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang atlet. Keputusan ini telah dicapai dengan cara yang baik, dan kami menghormati keinginan Lee Tuck.

“Kami mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lee Tuck atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab. Semangat, kerja berpasukan, dan kepimpinannya di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat.

“Kenangan yang dicipta bersama akan dikenang selama-lamanya, dan kami akan sentiasa mengalu-alukan Lee Tuck dengan tangan terbuka setiap kali beliau kembali melawat KDA FC,” tulis kenyataan rasmi.

Musim ini, Lee Tuck memainkan peranan yang penting dalam merencanakan jentera serangan Kedah (KDA FC) sehingga membantu pasukan itu menghuni kedudukan tiga teratas Liga Super.

Berdasarkan rekod, beliau telah menjaringkan 5 gol serta 7 bantuan gol dalam 15 penampilan dalam saingan Liga Super.

Prestasi cemerlang bersama Kedah turut memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa bulan lalu.

Dengan ketiadaan Lee Tuck, KDA FC dijangka akan mempertaruhkan pemain muda di bahagian tengah bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia.

“Sambil kelab mengucapkan selamat tinggal kepada pemain tengah yang luar biasa, kami tetap komited kepada visi kemajuan dan kejayaan berterusan KDA FC.

“Kami sedang giat berusaha untuk mengukuhkan skuad Sang Kenari, membawa bakat baharu, dan membentuk masa depan yang cerah untuk kelab ini,” tambah kenyataan rasmi.