Terengganu memastikan juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) City tersingkir daripada persaingan TM Piala Malaysia 2022 dengan agregat 4-1 selepas berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 pada aksi suku akhir kedua, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan bermakna tersebut sekali gus membawa skuad kendalian Nafuzi Zain ke peringkat separuh akhir dalam usaha memburu penampilan di pentas final buat kali kedua pada musim ini.

Mendapat sorakan hangat puluhan ribu penyokong sendiri di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu tampil dengan kemas sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih.

Ketua pasukan, Tchetche Kipre mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelapan, namun percubaannya dalam kawasan penalti membias terkena kaki Giancarlo Gallifuoco.

Berselang dua minit kemudian, giliran Kpah Sherman pula hampa apabila percubaannya setelah menerima hantaran lintang Kipre di sebelah kiri pintu gol KL City sedikit tersasar.

Memasuki minit ke-14, Kipre mendapat lorongan baik daripada Manuel Ott tetapi percubaannya tersasar selepas mendapat tekanan hebat daripada Giancarlo dalam kawasan penalti.

Kegagalan memanfaatkan peluang terhidang itu ditebus pada minit ke-22 apabila Ott mengambil kesempatan di atas kesilapan Kamal Azizi Mohamad Zabri yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Ott yang merampas penguasaan bola dalam kawasan penalti lawan berjaya melakukan percubaan rendah untuk menewaskan penjaga gol, Kevin Ray Mendoza Hansen untuk meletakkan Terengganu dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, anak buah Bojan Hodak hampir menyamakan kembali kedudukan pada minit ke-27. Bagaimanapun, hantaran lintang Declan Lambert yang membias terkena Pape Diakite diselamatkan diatas garisan oleh Muhammad Alif Zakaria.

Ketika para pemain sedang berkira-kira untuk melangkah ke bilik persalinan, Muhammad Haqimi Azim Rosli menceriakan kem KL City dengan tolakan mudah dilakukannya selepas menerima hantaran lintang Paulo Josue untuk mengikat kembali permainan.

Enggan melihat pasukan lawan terus mempamerkan kebangkitan, Terengganu tampil dengan lebih baik pada babak kedua untuk menjarakkan lagi defisit jaringan.

Usaha itu membuahkan hasil apabila mereka berjaya menambah dua lagi jaringan menerusi Kipre pada minit ke-63 dan Sherman mematikan api perjuangan KL City ketika permainan memasuki minit ke-89.

Dengan kemenangan bergaya keatas KL City itu, Terengganu secara rasminya menempah aksi separuh akhir bertemu juara 33 kali, Selangor.