Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbrückner mengetepikan penyerang import, Jordan Mintah bagi perlawanan Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman, 3 Julai ini.

Menurut Tomi, keputusan tersebut diambil atas faktor disiplin penyerang itu dalam perlawanan terdahulu ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur City.

Jordan Mintah antara salah seorang pemain yang enggan mengambil sepakan penalti pada perlawanan tersebut dan Tomislav Steinbrückner nyata berang dengan tindakan pemain itu.

Tomislav Steinbrückner Jordan Mintah
Sumber Gambar: Terengganu

“Benar dia tidak akan diturunkan. Sebagai ketua jurulatih, saya yang menentukan pilihan barisan.

“Saya tidak boleh merungut kualiti pemain tetapi disiplin haruslah menjadi keutamaan kami,” katanya.

Selain mintah, dua lagi pemain iaitu Faiz Nasir dan Hakimi juga tidak mahu mengambil sepakan penalti yang menyaksikan Terengganu tewas dalam perlawanan tersebut.

“Saya sendiri minta Jordan Mintah tapi dia kata tidak. Saya minta Faiz Nasir untuk mengambil, dia kata tak mahu. Saya minta Hakimi kerana beliau mempunyai kaki kiri yang bagus, tetapi dia tak nak. Awak beritahu saya sebabnya,” kata Tomi.

Giancarlo Gallifuoco menjadi wira bagi Kuala Lumpur City dimana beliau berjaya menyempurnakan sepakan penalti kemenangan bagi KL City selepas Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan sepakan bagi Terengganu.

Dalam masa yang sama, Tomi memberi bayangan pasukannya akan membawa masuk beberapa pemain, baik import dan juga pemain tempatan pada jendela perpindahan kedua musim 2023.

“Nurillo Tukhtasinov mungkin akan datang. Kami juga memantau sumber berbeza termasuk bakat tempatan di bahagian tengah dan penyerang.

“Mungkin beberapa pemain import perlu ditukar seperti menamatkan kontrak mereka untuk tujuan penjimatan,” tambahnya.