Terengganu FC semakin hilang arah apabila mengalami kekalahan di tangan Petaling Jaya City FC dengan keputusan 5-3 dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.
Pasukan bimbingan Irfan Bakti ini bermula dengan cemerlang apabila menjaringkan tiga gol pada 20 minit pertama perlawanan. Jaringan Kipre Tchetche pada minit ke-11, Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-18 dan Ashari Samsudin pada minit ke-19 memberikan kelebihan awal untuk TFC pada separuh masa pertama.
KEPUTUSAN MASA PENUH PERLAWANAN LS13 LIGA SUPER 2019#LigaSuper2019 pic.twitter.com/y5oIcijIfF
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 14, 2019
Memasuki separuh masa kedua, malapetaka menimpa Terengganu FC apabila PJ City melakukan comeback bermula dengan jaringan Elizeu pada minit ke-49. Pedro Henrique kemudiannya menjaringkan gol kedua PJ pada minit ke-50 disusuli dengan jaringan Washington Brandao pada minit ke-58 bagi mengikat kedudukan kepada 3-3.
PJ City kemudiannya berada di hadapan apabila percubaan Zamri Ramli pada minit ke-77 gagal diselamatkan oleh penjaga gol TFC, Suffian Abdul Rahman. Selang tiga minit kemudian, Pedro Henrique menjaringkan gol kedua peribadi sekaligus gol kelima bagi PJ City bagi melengkapkan malam penuh malang untuk Terengganu.
Dengan kekalahan mengejut semalam, masa depan pengendali pasukan, Irfan Bakti menjadi tanda tanya dimana segelintir peminat mahu pengurusan pasukan untuk menggantikan beliau dengan ketua jurulatih yang lain.
Selain itu, peminat turut menggesa beberapa pemain khususnya bekas pemain Felda United yang dibawa masuk oleh Irfan digugurkan kerana menampilkan persembahan yang buruk pada perlawanan semalam.