Setelah gagal mendapatkan khidmat pemain pertahanan import dari Brazil, Luis Gustavo Camilo pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia 2019, Terengganu FC mahu memanfaatkan kelebihan mempunyai Feeder Team bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak permohonan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain itu. Kelewatan 30 saat selepas Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) ditutup menjadi punca PBSNT untuk mendapatkan ITC Camilo ditolak.
Setelah kata putus daripada FIFA diperolehi, TFC dalam satu pengumuman semalam memutuskan untuk menggunakan khidmat pemain daripada Terengganu FC II bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Luis. Setakat ini, Terengganu mendaftarkan Dechi Marcel N’Guessan dimana beliau sudah mula beraksi dalam saingan Liga Super ketika TFC bertemu Perak.
Seorang lagi pemain pertahanan TFC II, Serhii Andrieiev dari Ukraine turut berada dalam senarai pendek bagi membarisi benteng pertahanan pasukan bimbingan Nafuzi Zain itu.
Sebelumnya, pihak pengurusan TFC mengambil keputusan untuk menggugurkan Igor Zonjic dengan alasan pemain import dari Serbia itu gagal untuk menampilkan prestasi terbaik bersama pasukan pada separuh masa pertama Liga Super musim ini.
TFC turut menggugurkan Thierry Chanta-Bin namun menarik balik keputusan tersebut pada saat akhir setelah pengganti yang mahu dibawa masuk, Sunsern Limwatthana tidak mendapat pelepasan daripada kelab beliau, Trak FC dimana presiden Trak tidak bersetuju dengan yuran yang ditawarkan oleh PBSNT.