Pasukan yang raih kedudukan tempat kedua Liga Super 2023 berpeluang beraksi dalam pertandingan kelolaan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2024/25 selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dinobatkan sebagai Juara Liga Super kali ke 10 semalam.

Malaysia Football League (MFL) sebelum ini mengumumkan juara Liga Super 2023 akan layak beraksi di pertandingan kelab AFC Tier 1 manakala juara Piala FA akan mendapat slot ke pertandingan kelab AFC Tier 2.

Bagaimanapun, JDT muncul juara Piala FA 2023 selepas menewaskan KL City 2-0 pada bulan Julai lalu maka slot ke kelab AFC Tier 2 diberikan kepada naib juara Liga Super 2023.

Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, saingan merebut kedudukan kedua Liga Super masih terbuka melibatkan Selangor yang kini mengutip 49 mata meninggalkan pencabar terdekat iaitu Kedah (44 mata), dan Sabah (42 mata).

Jika kelab-kelab yang layak ke pertandingan tersebut gagal menepati syarat-syarat Perlesenan Kelab AFC, maka penggantian kelab yang akan layak ke pertandingan tersebut di atas adalah tertakluk kepada keputusan dan kelulusan MFL.

Menerusi carta peruntukan slot pertandingan AFC 2024/25 bagi zon Timur, Malaysia mendapat satu slot automatik bagi pertandingan Tier 1 dan juga satu slot automatik ke pertandingan Tier 2.

Pertandingan Tier 1 dikenali sebagai AFC Champions League Elite (ACLE), Tier 2 – AFC Champions League 2 (ACL 2) manakala Tier 3 ialah AFC Challenge Cup (ACGL).

Namun Malaysia tidak mendapat slot bagi pertandingan Tier 3 sekali gus bakal menyaksikan hanya dua pasukan Liga M berpeluang ‘menikmati’ pertandingan peringkat tertinggi Asia.

ACLE merupakan kejohanan top tier yang terdiri daripada 24 kelab elit di Asia. Mereka akan dibahagikan kepada 12 pasukan iaitu zon barat dan zon timur bersaing dalam format liga.

Manakala ACL 2  ialah kejohanan tier 2 melibatkan penyertaan sebanyak 32 pasukan. Mereka dibahagikan kepada 8 kumpulan yang terdiri daripada 4 pasukan.

ACGL pula ialah kejohanan tier 3 yang melibatkan 20 kelab bagi menggantikan saingan Piala AFC. Mereka dibahagikan kepada lima kumpulan dan kesemua perlawanan dimainkan sekali sahaja di venue berpusat dengan lapan kelab terbaik layak ke Suku Akhir.