Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares tanpa berselindung mengakui bahawa beliau tidak bersetuju dengan panggilan pemain untuk menyertai skuad kebangsaan bukan pada ‘FIFA Days’.

Baca Juga:

Pendapat itu disuarakan Tavares selepas tiga pemainnya iaitu Yakob Sayuri, Muhammad Dzaky Asraf Huwaidi dan Ramadhan Sananta telah dipanggil Shin Tae-yong untuk menyertai latihan pusat skuad kebangsaan Indonesia bagi menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Panggilan tersebut nyata membuatkan pengendali kelahiran Portugal itu berada dalam dilema kerana PSM Makassar akan mengharungi enam perlawanan liga dalam tempoh 19 hari.

Meskipun latihan pusat di luar FIFA Days amat tidak disenanginya, Tavares tetap memilih untuk menghormati keputusan tersebut dan mengatakan akan cuba memahami budaya baharu buat beliau itu.

“Saya perlu sampaikan, mereka [Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia] perlu juga memerhatikan perkara berkaitan dengan aturan panggilan pemain bukan pada FIFA Matchday.”

“Tetapi ini bukan budaya saya, ini budaya baharu bagi saya,” ujar Tavares menurut sumber Tribun Timur.

“Satu perkara baharu yang saya lihat sepanjang hidup saya bahawa pemain dipanggil berbulan-bulan untuk mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan. Bola sepak dimana-mana pun, di tempat saya sebelum ini pun tak pernah begini.”

“Namun, saya perlu menghormati keputusan ini. Mungkin saya perlu belajar budaya ini tetapi kalau ditanya sama ada saya bersetuju atau tidak, ternyata saya tidak setuju dengan keadaan ini,” tambah Tavares lagi.

Sumber