Hari ini 25 pemain telah melapor diri di kem latihan pusat skuad Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Hanoi pada 10 Oktober depan.

Selain itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe turut dijadualkan menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari Sabtu ini sebagai medan untuk memilih 23 pemain terbaik.

70933676_2409803119116438_9186705222443991040_o
Tiga pemain menjalani latihan ringan akibat kecederaan. FOTO: FAM

Bagaimanapun, persiapan skuad negara sedikit terjejas apabila tiga pemain tengah didapati mengalami kecederaan dan memerlukan penilaian daripada doktor pasukan dalam beberapa hari. Pemain tersebut ialah Azam Azih (Pahang), J. Partiban (Perak) dan Halim Saari (Selangor).

Bagi menggantikan tempat mereka jika disahkan tidak dapat beraksi, Tan Cheng Hoe telah memanggil pemain tengah dari Sabah, Azzizan Nordin untuk memperkuatkan pasukan itu. Menurut FAM, Azzizan akan melapor diri pada hari esok.

71558553_2409801329116617_5730164956221931520_o
Sesi latihan skuad negara di Padang MSN. FOTO: FAM

Azzizan sebelum ini pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kemboja dan Taiwan pada bulan September tahun lepas.

Pemain yang berusia 25 tahun itu melakukan penampilan pertamanya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian susulan kecederaan yang menimpa Nasir Basharuddin pada pertengahan babak pertama menentang Kemboja.

Dalam perlawanan itu, beliau berjaya mengemudi bahagian tengah dengan aksi mantap dan bertenaga, terutama ketika memenangi bola berdepan pemain lawan. Malah, turut mendapat pujian daripada barisan kejurulatihan, serta corak permainannya dianggap mirip Shakir Shaari selaku pemain tengah bertahan terbaik yang pernah dilahirkan negara.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan terkini skuad Harimau Malaya, boleh baca melalui pautan dibawah. 

Sri Lanka Uji Kekuatan Harimau Malaya Sebelum Bertemu Vietnam

Tan Cheng Hoe Jelaskan Sebab Aidil Zafuan Dan Halim Saari Dipanggil Ke Skuad Kebangsaan

FAM Tidak Sempat Cari Pengganti Hong Kong Untuk Aksi Persahabatan Antarabangsa