Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhididn Salleh menegaskan badan induk bola sepak negara itu sepatutnya tidak perlu ragu dengan kredibiliti pengadil tempatan serta menasihatkan agar tidak terlalu teruja untuk menggunakan pengadil dari luar negara.

Menurut Subkhidin, belum terbukti pengadil dari liga ternama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga tidak membuat sebarang kesilapan ketika mengendalikan perlawanan.

Subkhiddin Mohd Salleh
Sumber Gambar: Football Tribe

“Tidak perlu terlalu teruja dengan ‘mata biru’, mereka pun tidak sempurna dan buat silap sebagaimana yang berlaku dalam liga-liga besar dunia seperti EPL dan La Liga.

“Apakah terdapat pengadil import mengadili EPL sedangkan prestasi mereka juga ‘yo yo’? Apakah ada pengadil import dalam La Liga sedangkan beberapa orang pengadil mereka didapati korup?

stuart-ramalingam-subkhiddin-salleh
Sumber Gambar: FAM

“Apakah kita sangsi dengan kebolehan yang ada pada pengadil Malaysia? Sekiranya kita sangsi dengan kebolehan mereka, kenapa perlu kita gunakan khidmat mereka daripada permulaan musim? Pelik, setelah menyemai benih, buahnya tidak mahu dimakan bersama?” katanya menurut laporan Sukan Sinar.

Tambah Subkhiddin, beliau menyedari terdapat kelemahan dalam institusi pengadilan di Malaysia namun beliau merasakan ia hanya perkara kecil.

“Pengadil tempatan memerlukan sokongan semua pihak sama ada pentadbir mahupun penyokong untuk memastikan pembangunan mereka terpelihara. Ada baiknya kita tingkatkan hubungan dalam kalangan mereka yang terbabit dalam bola sepak tanpa mengira status,” tambahnya.