Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Ifwat Akmal mengakui tahap keyakinannya semakin tinggi untuk terus mengawal gawang dengan lebih cemerlang di pentas TM Piala Malaysia selepas kembali diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama.
Sejak diberi peluang kembali beraksi dalam saingan liga pada Ogos lalu, aksi Ifwat tidak mengecewakan untuk membantu pasukan meraih gelaran naib juara Liga Super pada musim ini.
Selepas menang ke atas Kelantan United FC dalam aksi pertama Kumpulan C Piala Malaysia, pemain berusia 25 tahun ini mengakui moral mereka semakin membara untuk terus mengumpul mata, tetapi ia masih belum menjamin untuk Ifwat terus kekal dalam skuad utama selain tetap bersaing hebat dengan Shahril Saari.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 3-0 Kelantan United FC
Kedah Darul Aman FC membuka kempen TM Piala Malaysia dengan kemenangan selesa hasil dua gol Syazwan Zainon dan jaringan Tchetche Kipre.#TMPialaMalaysia2021 pic.twitter.com/Op3Ec8TdVJ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) September 27, 2021
Namun, bakal berdepan Melaka United FC pula pada malam ini, Ifwat menyifatkan dua penyerang lawan iaitu Sony Norde dan Adriano antara tonggak utama lawan yang perlu diawasi sebaik mungkin bagi memastikan gawang tidak bolos.
“Setakat ini saya bersyukur kerana berasa lebih yakin dalam setiap perlawanan berbanding sebelum ini memang ada rasa gugup sebab dah lama tak turun beraksi, tetapi sekarang semua dah baik.
“Cuma, untuk lawan Melaka United pada malam esok, saya boleh katakan mereka memang kuat sebab apabila menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) tempoh hari, aksi mereka semakin baik, jadi kami memang kena hati-hati.
“Terutamanya dua penyerang (Adriano dan Norde) yang memang suka melakukan asakan pantas dan merbahaya, tetapi untuk saya, saya akan cuba sebaik mungkin untuk terus jaga gawang dengan lebih berhati-hati agar tidak bolos”,katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:
Jaringan Park Tae-Su ‘Mendunia’, Pakar Cadang Hantar Ke Puskas