Penyerang muda Thailand, Suphanat Mueanta bakal beraksi di kancah bola sepak Eropah musim ini dimana beliau menyertai kelab Belgium, OH Leuven secara pinjaman dari Buriram United.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football di laman media sosial X dimana Suphanat dipinjamkan selama setahun dan pemain itu bakal beraksi di divisyen pertama iaitu Jupiler Pro League.

Sebelum ini, Suphanat sudah dua kali dihantar ke kelab Liga Kejuaraan, Leicester City untuk menjalani latihan selama sebulan dan langkah ini menurut pemain itu telah membuka luas mindanya untuk menitikberatkan pelbagai aspek dalam kariernya.

Kali terakhir beliau mendapat peluang tersebut adalah pada hujung tahun lalu dimana Suphanat bersama-sama Supachai Jaided, Narubadin Weerawatnodom, Rattanakorn Maikami dan Chitiphat Tangklang telah dibawa ke kelab itu.

“Sebelum saya pergi ke Leicester City, saya tak banyak memberikan tumpuan kepada cara untuk menjaga keadaan tubuh badan dengan betul,” ujar Suphanat menurut laporan dikeluarkan Main Stand – International.

“Tetapi selepas saya ke sana, saya mula menyedari bahawa saya memang agak jauh ketinggalan daripada segi fizikal. Tahap profesional di sana juga sangat tinggi dalam kalangan para pemain.”

“Kalau boleh, saya ingin mencabar diri saya dan bermain di Eropah dengan segera. Selepas sesi latihan di Leicester City pada Disember lepas, saya sedar ramai pencari bakat daripada kelab lain yang cuba untuk mencari pemain,” tambah Suphanat Mueanta lagi.

OH Leuven bukanlah satu kelab yang asing untuk pemain Thailand dimana sebelum ini, bekas ketua pasukan skuad kebangsaan negara itu iaitu Kawin Thamsatchanan pernah menyarung jersi kelab itu selama dua musim.