Skuad Thailand bawah 22 tahun (B-22) tekad menewaskan Malaysia apabila kedua-dua pasukan bakal berentap petang ini untuk aksi kedua kumpulan B acara bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Baca Juga:
- Sukan SEA 2023: Malaysia Cemerlang Baham Laos
- Analisis Malaysia vs Laos: Pelan Keselamatan & Permainan ‘Direct’
- Skuad Kendalian Elavarasan Mampu Raih Pingat Emas Sukan SEA
Pada perlawanan pertama, Thailand menewaskan Singapura 3-1 manakala Malaysia yang dibimbing oleh E. Elavarasan belasah Laos 5-1. Kemenangan dalam perlawanan kedua penting bagi mencerahkan peluang mereka mara ke peringkat separuh akhir.
Kali terakhir mereka bertemu adalah ketika saingan Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada tahun lepas dimana skuad negara tewas 0-3 kepada Thailand di peringkat kumpulan.
Perlawanan tumpuan petang ini ⚽️🐯 pic.twitter.com/knzek6TtpU
— VOCKET FC (@vocketfc) May 6, 2023
Pemain tengah Thailand, Chayapipat Supunpansuch berpendapat pasukan Malaysia kali ini tidak berubah dan hampir sama seperti yang mereka bertemu di Uzbekistan.
“Jurulatih mahu saya dan rakan sepasukan bermain dengan corak ‘counter attack’. Kami akan cuba kawal bola dengan baik. Malaysia hampir sama seperti di Uzbekistan tetapi mungkin pemain yang berbeza.
“Saya rasa perlawanan menentang Malaysia akan jadi sengit kerana kedua-dua pasukan cukup bersedia. Malaysia tahu corak permainan kami dan kami juga telah mengkaji kelemahan dan kekuatan mereka.
“Kami akan laksanakan tugas mengikut arahan jurulatih dan bermain mengikut sistem pasukan. Kita akan bermain dalam satu pasukan dan yakin dapat pungut 3 mata penuh,” katanya dipetik dalam SMM Sports.
Selain itu, bintang muda Thailand yang bermain di Jerman, Achitpol Keereerom dilihat bakal menjadi ancaman utama kepada benteng skuad negara.
Beraksi bersama FC Augsburg II, kelibat penyerang berusia 21 tahun itu harus diberi tumpuan oleh anak buah Elavarasan dengan dia meledak satu gol ketika Thailand menewaskan Singapura 3-1 pada aksi sulung Kumpulan B, Ahad lalu.
Persediaan rapi tambahan dilakukan skuad negara kerana aksi berdepan Thailand kali ini akan berlangsung waktu petang dalam cuaca panas di Phnom Penh.