Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, E. Elavarasan mengakui berminat untuk mendapatkan khidmat Luqman Hakim Shamsudin dalam usaha memperkuatkan jentera serangan bagi menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja.
Baca Juga:
- EKSKLUSIF: Luqman Hakim Kongsi Faktor Utama Berhijrah Ke Iceland, Punyai Misi Peribadi Bersama Njardvik
- Luqman Hakim Jalani Sesi Latihan Pertama Bersama Njardvik FC
- Luqman Hakim Sertai Kelab Iceland Secara Pinjaman
Bakal menjengah usia 21 tahun pada 5 Mac nanti, khidmat Luqman ditagih untuk memberikan sumbangan berkesan buat skuad muda negara itu.
Apatah lagi Elavarasan awal-awal lagi sudah meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir dalam temasya yang akan bermula 5 Mei itu.
Seperti yang diketahui, Luqman ketika ini berada di Iceland selepas dipinjamkan sehingga hujung musim ke kelab divisyen dua, Njardvik FC.
“Ya, dengan Luqman Hakim juga kita masih berhubung dengannya. Dia ketika ini masih di Iceland. Jadi, dia masih dalam masa bermain.”
“Saya merasakan kemungkinan besar apabila rehat ‘FIFA Days’ dia akan dilepaskan oleh kelabnya dan menyertai sesi latihan bersama kami,” ujar Elavarasan bercakap dalam sidang media di Wisma FAM, sebentar tadi.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara meraih pingat emas dalam Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta selepas berjaya menunundukkan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 ketika aksi 120 minit terikat 1-1 menerusi jaringan Gunawan Dwi Cahyo (minit kelima) dan Asraruddin Putra Omar kembali menyamakan kedudukan berselang 30 minit kemudian.
Manakala, kali terakhir barisan pemain muda negara layak ke perlawanan akhir ialah ketika di Kuala Lumpur 2017 tetapi tumpas 0-1 di tangan Thailand.