Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal melihat ada sinar buat skuad negara untuk mencipta kejayaan pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada September nanti.
Baca Juga:
- Trofi Juara-Juara Asia 2023: Kebangkitan Hebat India Hampakan Malaysia Di Final
- Trofi Juara-Juara Asia 2023: Belasah Korea, Malaysia Ke Final
- Trofi Juara-Juara Asia 2023: Malaysia Belasah China 5-1
Keyakinan itu disuarakan Subahan selepas melihat skuad kendalian Arul Selvaraj menjelmakan aksi bertenaga ketika bertemu India pada perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023, kelmarin.
Dalam aksi yang berlangsung di Chennai itu, skuad negara menikmati suku pertama dan kedua dengan cukup baik hingga berjaya mendahului tuan rumah untuk keputusan 3-1.
Bagaimanapun kelebihan itu dipadamkan pada dua suku berikutnya sehingga menyaksikan India muncul juara buat kali keempat dengan kemenangan 4-3.
Meskipun tumpas dengan keadaan yang cukup memeritkan, Subahan melihat ia sebagai peningkatan berdasarkan aksi dipamerkan para pemain.
“Pasukan kita tewas kepada India, sudah pasti mereka kembali lebih garang, berbisa di China,” ujar Subahan menurut sumber laporan Bernama.
“Sekali lagi bertemu India di Sukan Asia nanti, mereka mesti menang. Kita nyaris menewaskan India semalam [kelmarin] walaupun beraksi di hadapan penyokong tuan rumah.”
“Ia jelas pasukan kita semakin meningkat tetapi saya selalu pesan kepada pasukan dan jurulatih Arul Selvaraj supaya perlu konsisten, bukan cemerlang dalam satu kejohanan sahaja dan kemudiannya menyepi.”
Saingan Sukan Asia 2022 menyaksikan pasukan lelaki telah diundi dalam kumpulan B untuk bersama-sama Korea Selatan, China, Oman, Thailand dan Indonesia.
Manakala bagi kategori wanita, anak buah Nasihin Nubli Ibrahim akan menghadapi laluan getir bertemu India, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura.