Skuad Thailand U23 berjaya menewaskan pasukan Laos U23 dengan keputusan 3 gol tanpa balas semalam dan kini mengumpul 4 mata dalam kumpulan J dibelakang Malaysia.
Kemenangan itu sebenarnya mungkin berpunca dari ‘suapan bonus’ kemenangan sebanyak THB1 juta atau sekitar RM125,000 yang ditawarkan oleh pengurus pasukan mereka, Madam Pang jika berjaya mengatasi Laos.
Menurut laporan dari SiamSport, selepas hanya mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Mongolia, pertemuan dengan Laos adalah amat penting untuk mereka mencari 3 mata penuh sebelum menghadapi Malaysia dalam perlawanan terakhir.
Oleh yang demikian, pengurus pasukan mereka Madam Pang atau nama sebenarnya Nualphan Lamsam yang merupakan presiden dan CEO Muang Thai Insurance menawarkan bonus khas itu untuk menaikkan semangat para pemain mencari kemenangan pertama pasukan.
Kedudukan terkini dalam kumpulan J. Malaysia akan bertemu Thailand pada 31 Oktober ini. #AFCU23 pic.twitter.com/1rbq1tuCv4
— VOCKET FC (@vocketfc) October 28, 2021
Berdasarkan kedudukan semasa, Thailand berada ditempat ke-2 kumpulan dengan kutipan 4 mata dan Malaysia menerajui kedudukan dengan 6 mata. Thailand wajib menang jika mahu layak automatik ke pusingan akhir, manakala Malaysia pula hanya memerlukan seri sahaja.
Ketua jurulatih Thailand U23, Worrawoot Srimaka bersama pembantunya dilihat berada di stadium melakukan ‘tinjauan’ terhadap pemain-pemain Malaysia ketika skuad Brad Maloney turun berdepan Laos dalam perlawanan pertama tempoh hari.
Pastinya, perlawanan berdepan Thailand 2 hari lagi bakal memperagakan aksi yang lebih mendebarkan kerana keputusan perlawanan itu akan menentukan pasukan mana akan layak secara automatik, atau perlu menunggu untuk muncul selaku 4 pasukan naib juara terbaik bagi mengesahkan tempat ke Uzbekistan 2022.
Baca juga artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.
Worrawoot Srimaka Tunai Nazar Lari Keliling Padang ’10 Round’ Selepas Menang Dengan Laos.
Luqman Hakim: “Sebagai Striker, Mesti Orang Target Punya. Saya Kena Bijak Dan Jangan Ambil Mudah.”
Kelayakan Piala Asia B-23: Azfar Terus Jadi Wira Negara Raih Tiga Mata