Pemain tengah skuad kebangsaan, Stuart Wilkin menggesa agar semua pemain perlu bangkit dari kekalahan di tangan Tajikistan pada perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 bagi menghadapi saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Hajat pasukan negara untuk memenangi Pestabola Merdeka edisi kali ini tidak kesampaian apabila tunduk dengan keputusan 2-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Wilkin berpendapat pasukan negara perlu segera melupakan kekalahan kepada Tajikistan sekaligus memberikan perhatian kepada saingan kelayakan yang akan bermula pada November ini.

“Kami semua sangat kecewa kerana tidak dapat memenangi perlawanan dan menghadiahkan trofi untuk negara. Tahniah kepada Tajikistan dan kita perlu segera bangkit dan melihat semula kesilapan yang dilakukan dan bagaimana untuk memperbaiki kesilapan yang terjadi malam ini (semalam) bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia.

“Kami tampil dengan baik dalam beberapa bahagian tetapi ada juga yang perlu diperbaiki. Saya pasti staf kejurulatihan mempunyai rancangan bagaimana untuk mengatasinya,” kata Stuart Wilkin selepas perlawanan.

Kekalahan semalam merupakan merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad negara ketika berdepan Tajikistan yang turut menggagalkan impian Malaysia untuk menjuarai King’s Cup 2022.

Malaysia tersentak pada minit ke-44 selepas Soirov Rustam yang melakukan larian melepasi pertahanan skuad negara untuk menerima lorongan baik rakan sepasukannya tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang untuk membuka tirai jaringan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia mendapat peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada masa kecederaan tetapi tandukan Matthew Davies susulan sepakan percuma dinafikan Barotov.

Memasuki babak kedua, skuad negara menggandakan asakan dengan mencipta beberapa peluang baik untuk menyamakan kedudukan.

Peluang terbaik dimiliki pada minit ke-49 menerusi Brendan Gan, bagaimanapun tandukannya setelah menerima hantaran sepakan penjuru sekadar melewati palang gol.

Ketika skuad negara berhempas-pulas dengan serangan bertubi-tubi dilancarkan ke kubu Tajikistan, salah faham Dominic Tan dan Ahmad Syihan di kawasan sendiri telah memberikan ruang buat Samiev Shahrom menambah gol kedua pada minit ke-88.

Dua jaringan yang jelas sukar dikejar oleh barisan pemain negara untuk mengesahkan kejuaraan edisi kali ini menjadi milik Tajikistan.