Ketua jurulatih Tajikistan, Petar Šegrt menegaskan perlawanan akhir menentang Malaysia dalam kejohanan Pestabola Merdeka 2023 hanyalah aksi pemanas badan sebelum pasukannya beraksi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Tajikistan berjaya menewaskan Malaysia dengan keputusan 2-0 dan Petar mengambil perkara ini untuk mendabik dada dan memberikan komen pedas terhadap pasukan negara.
“Maafkan saya kerana berkata seperti ini, hari ini (semalam) hanyalah aksi pemanas badan untuk kami menjelang Piala Asia 2023.
“Ini kerana bagi Tajikistan, Piala Asia 2023 adalah sangat penting bagi kami, selain kelayakan Piala Dunia. Akan tetapi, saya juga gembira kerana dapat memenangi piala ini (Pestabola Merdeka),” kata Petar Šegrt ketika sidang media selepas perlawanan.
Kekalahan semalam merupakan merupakan kekalahan kedua berturut-turut skuad negara ketika berdepan Tajikistan yang turut menggagalkan impian Malaysia untuk menjuarai King’s Cup 2022.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia tersentak pada minit ke-44 selepas Soirov Rustam yang melakukan larian melepasi pertahanan skuad negara untuk menerima lorongan baik rakan sepasukannya tidak berdepan masalah menyempurnakan peluang untuk membuka tirai jaringan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysia mendapat peluang keemasan untuk mengikat kedudukan pada masa kecederaan tetapi tandukan Matthew Davies susulan sepakan percuma dinafikan Barotov.
Memasuki babak kedua, skuad negara menggandakan asakan dengan mencipta beberapa peluang baik untuk menyamakan kedudukan.
Peluang terbaik dimiliki pada minit ke-49 menerusi Brendan Gan, bagaimanapun tandukannya setelah menerima hantaran sepakan penjuru sekadar melewati palang gol.
Ketika skuad negara berhempas-pulas dengan serangan bertubi-tubi dilancarkan ke kubu Tajikistan, salah faham Dominic Tan dan Ahmad Syihan di kawasan sendiri telah memberikan ruang buat Samiev Shahrom menambah gol kedua pada minit ke-88.
Dua jaringan yang jelas sukar dikejar oleh barisan pemain negara untuk mengesahkan kejuaraan edisi kali ini menjadi milik Tajikistan.