Legenda Liverpool, Steven Gerrard jelas kurang senang dengan spekulasi yang mengatakan beliau bakal menjadi pengganti kepada Jurgen Klopp sekiranya pengurus kelahiran Jerman itu meninggalkan The Reds.

Berjaya mengemudi Rangers menamatkan penantian juara Scottish Premiership pada musim lalu yang mana kali terakhir The Gers menjulang kejuaraan liga pada musim 2010/11, Gerrard jelas meletakkan keutamaan dalam membimbing kelab Scotland itu.

Lebih menarik, Rangers menduduki tangga teratas liga tanpa sebarang kekalahan apabila mereka mencatatkan 32 kemenangan dan enam keputusan seri selepas mengharungi keseluruhan 38 perlawanan.

Malah, kontrak bekas pemain tengah skuad kebangsaan England itu juga masih berbaki sehingga tahun 2024, sama seperti Klopp di Liverpool.

Sehubungan dengan itu, Gerrard juga mengakui bahawa beliau cukup gembira untuk terus membimbing Rangers pada ketika ini.

“Semuanya di luar kawalan yang mana saya tidak boleh mengawal segala spekulasi yang melibatkan kedudukan saya,” ujar Gerrard menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Saya tidak menyukainya, saya tidak ingin dilibatkan [spekulasi ke Liverpool]. Saya hanya ingin fokus pada tugasan yang dilakukan sekarang di sini [Rangers]. Saya sangat teruja dan berterima kasih di atas kepercayaan yang telah diberikan kepada saya.”

“Saya sangat gembira di sini. Saya sudah banyak kali menegaskan tentang perkara ini, Rangers merupakan sebuah kelab yang besar.”

“Saya puas, gembira dan boleh meneruskan perkembangan di sini dan berusaha untuk membantu kelab ini meraih kejayaan,” tambah Gerrard lagi.

Baca artikel lain mengenai Steven Gerrard dan Jurgen Klopp:

Kelab Bimbingan Steven Gerrard Perlu Bayar RM24.7 Juta Jika Mahu Dapatkan Terem Moffi

Box To Box Midfielder: Pemain Hampir Sempurna Dalam Padang

Klopp: Lebih Bermakna Daripada Yang Saya Fikirkan

 

Sumber