Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal membuat kelainan dengan memberi peluang kepada semua peminat bola sepak tempatan dari negeri-negeri zon selatan, utara dan pantai timur menyaksikan perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya.

Baca Juga:

Antara calon venue alternatif di luar lembah klang adalah Stadium Sultan Ibrahim (Zon Selatan), Stadium Darul Aman atau Stadium Negeri Batu Kawan (Zon Utara) serta Stadium Darul Makmur atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Zon Pantai Timur).

Setakat ini, hanya Stadium Sultan Ibrahim yang disahkan menjadi venue perlawanan menentang Turkmenistan, Taiwan atau Kuwait pada bulan depan.

Perkembangan itu didedahkan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu temubual eksklusif bersama pihak media baru-baru ini.

“Sebenarnya untuk perlawanan persahabatan bulan Mac ini insyaAllah kita akan main di Johor di Stadium Sultan Ibrahim, bulan Jun pula kemungkinan satu perlawanan di Johor dan kita akan pergi ke Terengganu, Pahang, Kedah atau Pulau Pinang,” kata Datuk Hamidin.

Gelanggang keramat skuad negara, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup pada bulan Mac untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia sekaligus memaksa FAM mencari venue alternatif yang sesuai.

Perlawanan persahabatan selain di SNBJ adalah satu idea menarik kerana mereka yang berada di luar Klang tidak perlu menempuh perjalanan jauh.

Bagaimanapun, ia bergantung pada kesesuaian venue berkenaan terutama membabitkan kualiti padang serta beberapa perkara lain. Hamidin juga tidak menolak untuk mengadakan perlawanan persahabatan di negeri Sabah atau Sarawak pada bulan November nanti.

“Pada bulan September, Pan-gon akan bawa pasukan bermain di luar negara mungkin di Hong Kong atau China. Manakala pada bulan Oktober ketika kejohanan Pestabola Merdeka kita akan main di SNBJ kerana kita mahu cuba rumput baru.

“Bagaimanapun perlawanan persahabatan pada bulan November mungkin kita akan ke sana (Sabah atau Sarawak),” tambahnya.