Skuad Sri Pahang (SRP) sekali lagi kempunan untuk mengutip tiga mata penuh apabila terikat 1-1 ketika menentang Sabah dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Darul Makmur.

Baca Juga:

Ini adalah keputusan seri ketiga yang dicatatkan oleh mereka selepas menentang Negeri Sembilan (1-1) dan Selangor (1-1) sekaligus dilabelkan sebagai ‘Pakar Seri’ dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Dalam perlawanan itu, Sabah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi tandukan Daniel Ting yang mudah menewaskan penjaga gol tok gajah, Izham Tarmizi pada minit ke 14.

Bagaimanapun, jaringan tersebut tidak melemahkan semangat para pemain Sri Pahang untuk terus bangkit mengandakan asakan berbekalkan sokongan padu ribuan penyokong sendiri.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila Kpah Sherman menolak masuk hantaran Azrif Nasrulhaq dari sebelah kanan untuk gol penyamaan pada minit ke 26. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Perlawanan menjadi lebih rancak di separuh masa kedua apabila kedua-dua pasukan saling menyerang. Sabah nyaris memperolehi gol kedua menerusi pemain import Korea Selatan, Ko Kwang-min namun rembatannya tersasar.

Tersentak dengan beberapa percubaan berbahaya Sabah, Tok Gajah mula menyusun beberapa gerakan untuk menyelusup masuk kawasan kotak penalti lawan.

Rentak permainan Sabah sedikit terjejas apabila ketua jurulatih mereka, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah pada minit ke 67 sekaligus diperintah keluar padang.

Malah, kedua-dua pasukan juga tidak berupaya menambah gol kedua kerana masing-masing buntu dan mengalami ketumpulan jentera serangan. Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sabah kini menghuni kedudukan kedua Liga Super selepas mengutip 10 mata manakala Sri Pahang berada di tangga keempat dengan 6 mata. Kedua-dua pasukan ini juga masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 4 perlawanan.