Kejayaan skuad hoki lelaki negara atau dikenali sebagai Speedy Tigers menewaskan Korea Selatan 6-2 di peringkat separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023 semalam telah menceriakan peminat sukan tanah air.

Selain mara ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam sejarah, ia juga turut memberi pulangan dari segi mata ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). 

Menerusi kemaskini ranking dunia oleh FIH, kemenangan ke atas Korea Selatan menyaksikan Malaysia memperolehi tambahan 29.57 mata.

Jumlah itu memastikan Malaysia kini kembali di ranking nombor 9 dunia dengan jumlah keseluruhan mata 2049.98 meninggalkan pesaing terdekat Korea di tangga ke-10.

Ia adalah rekod kedudukan ranking tertinggi dalam sejarah hoki negara selepas FIH mengemaskini jumlah mata ranking serta-merta sebaik berakhirnya perlawanan.

Pada bulan Januari lepas, skuad hoki negara sempat berada di ranking ke-9 dunia selepas menewaskan New Zealand 3-2 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar-Rourkela.

Namun, kedudukan ranking negara turun ke nombor 10 dunia selepas tamat kejohanan itu. FIH sentiasa mengemas kini kedudukan secara berkala, kadang kala beberapa bulan selepas kejohanan tamat.

Perubahan ranking terbaharu itu sekali gus mencapai sasaran yang diletakkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang mahukan skuad negara kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Skuad kendalian Arul Selvaraj itu bakal bertemu pasukan di ranking nombor 4 dunia, India pada perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023 pada malam ini.

Walaupun India menewaskan Malaysia 5-0 ketika aksi peringkat kumpulan, namun tidak mustahil skuad Speedy Tigers melakar kejutan sekaligus memberikan tambahan mata ranking untuk mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dunia.