Skuasy bakal dipertandingkan di pentas Sukan Olimpik 2028 (LA28) selepas mendapat kelulusan Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dalam satu mesyuarat yang berlangsung di Mumbai, India pada Isnin.

Komuniti skuasy termasuk bekas pemain no. 1 dunia dari Malaysia, Datuk Nicol David turut gembira mengetahui bahawa semua usaha keras oleh Persekutuan Skuasy Dunia sepanjang dekad lalu akhirnya membuahkan hasil.

Keputusan penting ini memberi peluang kepada atlet skuasy bertaraf dunia untuk bersaing di pentas sukan terbesar di dunia, dengan menawarkan dua pingat emas menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita.

Malaysia juga turut mempunyai atlet skuasy bertaraf dunia seperti juara individu Sukan Asia Hangzhou, Ng Eain Yow serta S. Sivasangari yang dijangka berada di puncak karier skuasy ketika itu.

Malaysia juara Skuasy berpasukan wanita di Sukan Asia

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S Maniam optimis bahawa Eain Yow dan Sivasangari akan berada di tahap kemuncak serta mampu menghuni kelompok 10 pemain terbaik dunia menjelang LA2028.

“Buat masa ini, Eain Yow berada dalam kedudukan kelompok 20 terbaik manakala Sivasangari meskipun berada di tangga ke-37, namun bermain seperti pemain teratas 20.

“Saya percaya dua-dua pemain ini mempunyai potensi untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam masa lima tahun dan mungkin berpeluang untuk memenangi pingat untuk Malaysia di Los Angeles,” katanya.

Selain Eain Yow dan Sivasangari, Maniam juga percaya bahawa pasangan adik-beradik Aifa dan Aira Azman serta pemain perseorangan lelaki, Ameeshenraj Chandaran menjadi prospek pingat atau berada dalam kelompok 10 terbaik dunia pada masa itu.