Saingan Piala AFF B-23 bukan lagi pentas untuk melakukan eksperimen apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran mara ke final.

Kejuaraan B-23 AFF 2023 bakal berlangsung di Rayong, Thailand bermula 17 hingga 26 Ogos 2023. Skuad B-23 kebangsaan diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Timor Leste.

“Walaupun, keputusan tidak menyebelahi kita pada Sukan Sea lalu namun itu bukanlah ukuran sebenar prestasi pemain negara ketika ini apabila sudah banyak perubahan dilakukan bagi memantapkan lagi persembahan mereka.

“Pada masa sama, kita juga tidak mahu lagi untuk ‘test power’ atau terus melakukan eksperimen di pentas Piala AFF B-23 dengan kali ini mahu pastikan pasukan mampu mencapai sasaran ditetapkan itu,” kata Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

25 pemain telah dipanggil oleh ketua jurulatih B-23 kebangsaan, E. Elavarasan bagi menyertai kem latihan pusat yang bermula sejakĀ  semalam.

Elavarasan telah memanggil pemain yang beraksi dalam saingan Piala MFL musim ini tanpa kelibat pemain berpengkalan dari luar negara sepertiĀ Luqman Hakim, Nooa Laine serta Richard Chin.

Ia adalah gabungan tonggak yang beraksi di Sukan SEA 2023 Kemboja bersama beberapa muka baharu.

“Dalam mana-mana kejohanan sasaran memang kita terpaksa pergi sampai ke tahap tertinggi, saya rasa mana-mana pasukan pun perlukan sasaran itu.

“Kami ada tujuh pemain baharu kali ini, ia satu cabaran yang baik kerana di Sukan SEA 2023 kita tidak sampai ke tahap yang sepatutnya kita berada, tetapi dengan pengalaman lepas kita akan buat yang terbaik,” kata Elavarasan kepada pihak media.

Mereka akan berlepas ke Thailand pada 16 Ogos 2023 dan seterusnya memulakan saingan berdepan Indonesia pada Jumaat, 18 Ogos 2023 sebelum bertemu Timor-Leste pada Selasa, 22 Ogos 2023.

Juara kumpulan (3 pasukan) dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan Final akan berlangsung pada 26 Ogos 2023.

Selepas Piala AFF B-23, pasukan itu akan menghadapi satu lagi kejohanan penting iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 pada bulan September nanti.

Malaysia perlu layak ke Piala Asia B-23 tahun depan kerana ia menawarkan tiket ke sukan Olimpik di Paris 2024.