Skuad futsal negara bakal mendapat idea baharu selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini dalam proses untuk membawa masuk ketua jurulatih dari luar negara.

Perkembangan terkini yang pastinya menggembirakan peminat futsal tanah air itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman ketika bercakap dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Kerjasama FAM x JOMA Malaysia serta Majlis Pelancaran Barangan Rasmi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Jawatan ketua jurulatih skuad negara sebelum ini dipegang oleh bekas pemain futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong sejak mengambil alih tugasan daripada pengendali kelahiran  Brazil, Marcelo Serpa pada awal September 2016.

Aksi hambar skuad futsal negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan bagi dua edisi berturut-turut dalam Kejuaraan Futsal AFF [2019 dan 2022] dan hanya berada di kedudukan keempat temasya Sukan SEA 2021 [diadakan pada 2022] dilihat menjadi alasan kukuh buat FAM untuk melakukan perubahan tersebut.

“Memang kita dalam perancangan untuk kita mengambil calon luar yang kita akan adakan sesi temuduga melibatkan tiga atau empat orang.”

“Untuk kita menilai dan putuskan apabila kita bawa masuk ke dalam Jawatankuasa Futsal,” ujar Noor Azman.

Menurut sumber dipercayai, salah seorang yang akan dinilai oleh FAM untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Chun Yong itu ialah merupakan bekas ketua jurulatih skuad futsal Iran.

Malah, beliau turut pernah membawa skuad bawah 20 tahun (B-20) Iran muncul juara Kejohanan Futsal B-20 AFC di Bangkok, Thailand.

Tahun 2023 menyaksikan skuad futsal negara akan menghadapi Kejuaraan Futsal AFF serta Kejohanan Dalam Dewan Asia (17 hingga 26 November) di Bangkok dan Chonburi, Thailand.