Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) semalam telah mengumumkan barisan awal 29 pemain yang dipilih menyertai kem latihan pusat sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Ketua jurulatih, Takayuki Nishigaya turut memilih beberapa pemain berpengalaman seperti Hariss Harun, Hassan Sunny, Shahdan Sulaiman, Irfan Fandi dan Faris Ramli.
Bakat muda seperti Pemain Muda Terbaik Liga Perdana Singapura, Ilhan Fandi yang beraksi dengan kelab Jepun, Albirex Niigata turut dipilih bersama Farhan Zulkifli, Shah Shahiran dan Ryaan Sanizal.
🦁 The 𝟮𝟵 in the 𝗽𝗿𝗼𝘃𝗶𝘀𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹 Lions squad for @affmecup! 🇸🇬
🇯🇵 Japan training camp ➡️ 1 to 12 Dec
🇲🇻 home friendly vs Maldives ➡️ 17 DecREAD ⬇️ #AFFMitsubishiElectricCup2022
— FAS (@FASingapore) November 10, 2022
Bagaimanapun, beberapa pemain yang beraksi di Piala AFF tahun lalu seperti pemain Selangor, Safuwan Baharudin, Izwan Mahbud, Gabriel Quak dan Tajeli Selamat tidak dipilih kali ini.
“Saya panggil pemain ini berdasarkan persembahan mereka di peringkat kelab serta keperluan posisi dalam pasukan, dengan beberapa pemain boleh beraksi di posisi yang berbeza apabila diperlukan,” ujar Nishagaya.
Sebagai persiapana awal, mereka akan berangkat ke Chiba, Jepun untuk kem latihan pada 1 hingga 12 Disember, di mana mereka dijangka bermain dalam dua perlawanan persahabatan menentang kelab di sana.
“Di Jepun, mereka akan berdepan pasukan yang memiliki gaya permainan yang serupa dengan pasukan Asean, yang akan memberi manfaat kepada kami.
“Dalam tempoh ini, saya mahu pemain menunjukkan apa yang dapat mereka tawarkan kepada pasukan. Piala AFF mempunyai kepentingan istimewa dalam bola sepak Singapura, dan saya mahu melihat semangat dan keazaman daripada para pemain kerana kami perlu bersatu dan bermain bersama demi negara.” tambah Nishigaya.
Hanya 28 pemain akan membuat perjalanan ke sana, dengan pemain pertahanan Ryhan Stewart hanya menyertai skuad selepas mendapat pelepasan daripada kelabnya, Chiangmai FC.
Kemudian, Singapura akan menghadapi Maldives pada 17 Disember untuk aksi persahabatan antarabangsa. Perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Jalan Besar kerana Stadium Nasional tidak dapat digunakan.
Selepas itu, Nishigaya akan menamakan barisan akhir seramai 23 pemain untuk beraksi di Piala AFF nanti.
Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 berlangsung pada 20 Disember hingga 16 Januari. Singapura, yang berjaya ke separuh akhir edisi lalu, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Vietnam, Malaysia, Myanmar dan Laos.
Singapura, yang merupakan juara empat kali, akan membuka kempen Piala AFF 2022 menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar pada 24 November.