Bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Shukor Adan berpendapat khidmat Safiq Rahim masih diperlukan setelah pemain itu menampilkan prestasi baik pada dua aksi persahabatan menentang Filipina dan Singapura.
Ketua jurulatih, Kim Pan-gon kembali memanggil Safiq untuk memperkuatkan bahagian tengah pasukan negara untuk menghadapi tiga perlawanan di Singapura dan keputusan beliau dilihat membuahkan hasil.
Shukor berpendapat untuk tahun ini, pasukan negara masih memerlukan kudrat pemain berusia 35 tahun itu terutamanya untuk menghadapi saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini.
“Mengenai kebergantungan kita kepada Safiq Rahim, mungkin Kim Pan-gon nampak kredibiliti yang dia ada. Saya rasa untuk tahun ini, kita memerlukan Safiq Rahim. Kita perlu meneruskan apa yang dirancangkan oleh coach Kim,” kata Shukor Adan.
Safiq telah telah mengumpul 75 penampilan bersama pasukan kebangsaan dan berjaya menjaringkan sebanyak 15 gol. Satu rekod yang cukup baik untuk seorang pemain tengah.
Setakat ini, Malaysia mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan dalam jelajah perlawanan persahabatan di Singapura dimana Harimau Malaya menewaskan Filipina dengan keputusan 2-0 dan tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 2-1.
Akhyar Rashid menjaringkan dua gol ketika aksi menentang Filipina manakala Liridon Krasniqi menjaringkan gol tunggal negara ketika tewas kepada Singapura.
Malaysia akan menutup perlawanan persahabatan di Singapura dengan menentang kelab setempat, Albirex Nigata Singapore dan pada perlawanan ini Pan-gon dijangka membuat pertukaran dan memberi peluang kepada pemain yang belum beraksi pada aksi menentang Filipina dan Singapura.
Pan-gon membuat penilaian berdasarkan tiga perlawanan yang dihadapi di Singapura untuk memilih pemain terbaik bagi membawa cabaran negara pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun ini.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:
Liridon Krasniqi Gembira Jaringkan Gol Pertama Untuk Malaysia
Dion Cools: Ini Persembahan Terburuk Saya Bersama Skuad Kebangsaan