Kerjaya sebagai seorang jurulatih dalam mana-mana bidang sekalipun bukan sesuatu yang senang malahan menuntut komitmen serta pengorbanan pelbagai sudut demi membimbing anak muda harapan negara.

Nemun begitu, kami difahamkan bahawa terdapat segelintir mereka ini yang mengalibabakan lesen yang dimiliki untuk meraih bayaran tanpa perlu membuat apa-apa. Perkara ini tidak akan terjadi jika tidak ada ‘permintaan’ dari satu pihak lagi yang mahu memilih jalan mudah bergelar jurulatih dalam pasukan.

Isu sewa lesen kejurulatihan ini bukan satu perkara yang baru terjadi, malahan telah lama wujud samada ia sengaja dibuat tidak nampak atas alasan tertentu ataupun ‘segan’ untuk menegur dengan menggunakan ‘humanity’ sebagai jawapan.

Perlu difahamkan juga, isu ini berlaku dipelbagai peringkat liga dan masih ramai lagi jurulatih yang berusaha keras untuk mencapai apa yang mereka idamkan.

Jalan Pintas Jadi Pilihan Untuk Pegang Jawatan

Kebanyakan isu yang berlaku ini adalah disebabkan mereka lebih suka memilih jalan pintas tanpa perlu melalui pelbagai program dan silibus kejurulatihan yang telah ditetapkan disamping memberikan alasan faktor kewangan dan juga masa untuk hadir.

Pada hemat mereka, tiada keperluan untuk memiliki kelayakan yang ditetapkan kerana ada pihak yang menawarkan ‘khidmat alibaba’ lesen kejurulatihan yang diperlukan dengan jumlah bayaran tertentu selepas dipersetujui.

Mungkin disebabkan mereka mempunyai nama dalam industri bola sepak tempatan, membolehkan golongan ini mengambil kesempatan atas kelonggaran yang wujud untuk kepentingan sendiri.

Contoh situasi: Individu ini mempunyai lesen C tetapi disebabkan ada pasukan yang berminat, mereka sanggup ‘menyewa’ lesen B dari individu lain kerana untuk layak memohon dan didaftarkan, mereka memerlukan lesen B.

Dan perkara ini mungkin diluar pengetahuan kelab ataupun kelab sedar dan tahu tetapi masih tiada apa-apa. Paling sedih jika pasukan tahu realiti ini berlaku tetapi masih berkeras mengambil staf yang tiada integriti, menggunakan kelayakan orang lain untuk diri sendiri.

Dimana Intergriti Pihak Yang Terlibat?

Hilang.

Disebabkan beberapa perkara yang kecil berpunca dari sikap serta tiada rasa tanggungjawab, jalan pintas menjadi pilihan.

Persoalan sekarang adalah dimana intergriti yang dilaungkan? Apakah kerana wang ringgit dan jawatan menjadi modal untuk semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak memperdagangkan kelayakan mereka.

Jika ini berterusan, usah bercakap menegenai pembangunan bakat muda, kerana pemain-pemain muda terdedah secara langsung kepada mereka yang tiada integriti.

Ini juga adalah satu ‘penipuan’ kepada jurulatih yang bekerja keras, membelanjakan wang ringgit demi mencari ilmu untuk disampaikan kepada pemain muda.