Sevilla terus membuktikan mereka layak digelar raja bagi saingan Liga Europa apabila menjuarai kejohanan tersebut buat kali ketujuh selepas menundukkan AS Roma 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final yang berlangsung di Puskas Arena, Hungary awal pagi tadi.

Baca Juga:

Pemenang bagi musim 2022/23 ini terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 permainan terikat 1-1.

Kejayaan itu turut meneruskan rentak cemerlang buat Sevilla yang menyaksikan kelab Sepanyol itu tidak pernah tewas dalam tujuh penampilan mereka di pentas final.

Aksi yang cukup fizikal turut ditampilkan kedua-dua pasukan pada perlawanan ini selepas 13 kad kuning dilayangkan di mana tujuh daripadanya menjadi milik pemain AS Roma manakala baki enam kad lagi buat pemain Sevilla.

Roma yang dibimbing Jose Mourinho bagaimanapun bermula dengan baik apabila memperolehi peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-12.

Namun, percubaan dalam kawasan penalti oleh Leonardo Spinazzola setelah menerima hantaran lintang Zeki Celik diselamatkan dengan baik penjaga gol Sevilla, Yasine Bounou (Bono).

Usaha AS Roma membuahkan hasil pada minit ke-34 apabila Paulo Dybala yang menerima lorongan cantik dari Gianluca Mancini tidak mensia-siakan peluang untuk menewaskan penjaga gol berusia 32 tahun itu.

Sevilla hampir menyamakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama menerusi percubaan kaki kiri dari luar kawasan penalti, tetapi rembatan tersebut sekadar terkena tiang ketika penjaga gol AS Roma, Rui Patricio sudah pun tertewas.

Jaringan penyamaan yang dinantikan Sevilla hadir pada minit ke-55 selepas Mancini tertampan bola ke gawang sendiri dalam usahanya untuk menghalang hantaran lintang dilakukan pemain veteran, Jesus Navas untuk kembali mengikat kedudukan.

Aksi selepas itu semakin panas dengan beberapa rujukan Video Assistant Referee (VAR) dilakukan dalam membuat keputusan tetapi ia masih tidak mengubah kedudukan hingga ke penentuan sepakan penalti.

Bounou muncul wira buat Sevilla apabila beliau berjaya menepis sepakan yang diambil Mancini dan Roger Ibanez untuk menghadiahkan satu lagi kejuaraan buat kelab tersebut selepas Lucas Ocampos, Erik Lamela, Ivan Rakitic dan Gonzalo Montiel menyudahkan sepakan dengan baik.