Skuad kebangsaan Sepanyol mempamerkan aksi yang cukup memukau apabila mudah menewaskan Costa Rica 7-0 dalam perlawanan pembukaan kumpulan E Piala Dunia 2022 Qatar di Stadium Al Thumama.

Baca Juga:

Pesta gol skuad La Roja bermula seawal minit ke 11 menerusi Dani Olmo yang bijak menyudahkan gerakan cantik ala ‘tiki-taka’ dalam kawasan kotak penalti sehingga memerangkap barisan pertahanan Costa Rica.

Dalam perlawanan ini, Sepanyol jelas menguasai perlawanan dengan corak permainan hantaran pendek sekaligus menyukarkan pemain lawan untuk merampas bola.

10 minit kemudian, Stadium Al Thumama kembali bergema dengan sorakan penyokong apabila Marco Asensio merembat masuk gol kedua hasil hantaran tepat daripada Jordi Alba di sebelah kiri.

https://twitter.com/Reinaldodcg9/status/1595452780872978434?s=20&t=G-UVWLYBHP-8s74Ebo9kqg

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh jentera serangan Costa Rica dan mereka kelihatan sukar untuk menembusi benteng pertahanan Sepanyol yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Namun begitu, pertahanan Costa Rica melakukan kesilapan sehingga menyebabkan Sepanyol menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ferran Torres pada minit ke 31.

Penalti itu diberikan selepas Jordi Alba dikasari oleh pemain pertahanan Costa Rica, Óscar Duarte. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan lebih banyak gerakan berbahaya dilakukan oleh Sepanyol dalam usaha untuk menambah jaringan.

Kelincahan jentera serangan Sepanyol yang diketuai oleh Asensio memaksa barisan pertahanan Costa Rica bekerja keras untuk mengekang pergerakan mereka.

Pada minit ke 54, Ferran Torres sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila menambah gol keempat selepas memperdayakan pertahanan Costa Rica dalam kawasan kotak penalti.

https://twitter.com/dkgoller2/status/1595465999549177861?s=20&t=kF81kVyLu4lRKiuCFewn0w

Costa Rica yang dibimbing oleh jurulatih dari Colombia, Luis Fernando Suárez cuba bangkit mencari jaringan pertama namun mereka berdepan pula dengan masalah ketumpulan penyudah dan banyak bergantung pada gerakan pemain sayap.

Sepanyol terus mengambil kesempatan terhadap kelemahan benteng pertahanan Costa Rica dan kali ini menerusi rembatan leret Gavi untuk gol kelima selepas menerima umpanan cantik daripada Alvaro Morata.

Malah, Gavi dinobatkan sebagai penjaring termuda di Piala Dunia 2022 pada usia 18 tahun setakat ini. Pemain tengah Barcelona itu dianggap sebagai bintang baharu yang bakal menyinar pada masa akan datang.

Dua gol Sepanyol lagi disumbangkan oleh Carlos Soler dan Alvaro Morata pada masa tambahan selepas tamat 90 minit perlawanan sekaligus mengesahkan 3 mata penuh menjadi milik mereka.

Selepas ini, Sepanyol akan menentang Jerman pada 28 November dan ia pasti bakal menjadi perlawanan tumpuan peminat bola sepak dunia.