Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk kembali menggunakan sistem kiraan 15 mata berbanding 21 mata dalam semua kejohanan dan pertandingan sepak takraw mulai 2 Februari 2024.
Baca Juga:
- Tokyo Verdy Miliki Skuad Sepak Takraw Wanita, Bukan Sekadar Kelab Bola Sepak Semata-Mata
- Pembantu Pengadil Rungkaikan ‘Misteri’ Kontroversi Final STL Challenge Cup 2023
- Azlan Mubin Kongsi Pengalaman Hadapi Servis Kuda Suebsak Phunsueb
Perkembangan itu disahkan oleh Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader yang menjelaskan keputusan itu dibuat ketika mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai di Thailand pada 15 Julai lepas.
“ISTAF memutuskan dan meluluskan penggunaan sistem pengiraaan baharu yang akan dilaksanakan berkuat kuasa 2 Februari 2024 untuk semua kejohanan sepak takraw.
“Ini bagi memberi masa yang cukup kepada pemain dan pasukan untuk menyesuaikan diri dan menerima pakai sistem baharu itu untuk kekal berdaya saing di semua peringkat pertandingan,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara alasan perubahan sistem kiraan mata itu ialah ia lebih menjimatkan masa, tenaga dan perlawanan lebih mendebarkan. Namun sistem 15 mata ini kekal dengan servis tiga kali bergilir-gilir dan mata boleh bertambah tanpa memegang servis.
Sepak takraw bermula dengan sistem 15 mata ketika diperkenalkan pada Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 dengan servis berpindah milik dan mata hanya bertambah jika memegang servis.
Sistem kiraan ini bertahan sehingga 1995 hingga 2001, kemudian dipinda kepada 21 mata dua set terdahulu, 15 mata set penentuan sahaja dengan mata boleh bertambah tanpa servis namun pada 2011, kembali kepada 15 mata kesemua set dan terbaik daripada lima set (best of five sets).
Piala Dunia ISTAF 2024 di Goa, India pada Februari tahun depan akan jadi kejohanan pertama menggunakan sistem kiraan 15 mata ini melibatkan tiga acara iaitu antara regu, beregu dan berempat (kuadran) kategori lelaki dan wanita.
Piala Dunia Keempat tahun lalu menyaksikan Thailand menjuarai antara regu selepas menewaskan Malaysia 21-18, 21-19 dalam perlawanan akhir di Gimnasium Hanbat, Daejeon, Korea Selatan.