Tirai saingan Euro 2020 secara rasminya dilabuhkan pada awal pagi semalam yang menyaksikan Itali muncul juara setelah berjaya menundukkan England 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit di Stadium Wembley itu terikat 1-1.
Kejayaan tersebut juga bermakna skuad kendalian Roberto Mancini itu berjaya menamatkan penantian panjang untuk menjulang kejuaraan selepas kali terakhir Itali muncul juara Euro adalah pada edisi 1968.
Selain itu, ia turut mengekalkan rekod 34 perlawanan tanpa kalah Itali dalam semua pertandingan yang disertai.
Susulan berakhirnya kejohanan yang cukup menarik itu, kami senaraikan kepada anda barisan ‘Best XI’ Euro 2020 pilihan penulis Vocket FC.
Posisi: 4-3-3
Penjaga gol: Jordan Pickford (England)
Mungkin ada yang mempertikaikan pemilihan ini kerana Gianluigi Donnarumma dilihat lebih layak kerana beliau telah membantu Itali menjuarai Euro 2020 dan juga dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.
Bagaimanapun, statistik jelas menunjukkan Pickford memiliki rekod lebih baik apabila beliau tidak dibolosi sebanyak lima perlawanan [tiga buat Donnarumma] serta melakukan 16 ‘saves’ manakala Donnarumma pula dengan sembilan ‘saves’.
Beliau hanya dibolosi dua gol menerusi sepakan percuma yang terus menerjah gawang menerusi Mikkel Damsgaard dan jaringan penyamaan Leonardo Bonucci pada aksi final.
Pickford juga cemerlang dalam menafikan lima percubaan tepat sepanjang 120 minit aksi final dan turut menggagalkan sepakan penalti yang diambil Andrea Belotti dan Jorginho.
Bek kanan: Joakim Maehle (Denmark)
Selepas kehilangan khidmat Christian Eriksen dan turut kecundang pada dua perlawanan awal, tanpa disangka-sangka kelibat Joakim Maehle menjadi sebagai antara senjata ampuh buat Denmark.
Beliau berjaya menjaringkan gol ketika membantu Denmark menundukkan Rusia dan Wales serta mencipta bantuan jaringan dengan hantaran menarik menggunakan ‘Outside Foot’ sekali gus memberikan peluang buat Kasper Dolberg untuk menyumbat gol kedua di peringkat suku akhir.
Dilihat sebagai seorang bek sayap yang berkualiti, Maehle jelas begitu menonjol pada edisi kali ini.
Bek tengah: Leonardo Bonucci (Itali)
Sumbangan hebatnya tidak perlu diperdebatkan lagi apabila Bonucci membentuk gandingan mantap bersama pasangannya, Giorgio Chiellini dalam mengepalai jentera pertahanan Itali.
Pemain berpengalaman itu menggunakan pengalaman luas dimiliki dalam menyerap tekanan yang diberikan pasukan lawan sehingga membuatkan barisan serangan pasukan lawan terutamanya Belgium dan England kebuntuan idea untuk mendapatkan lebih banyak jaringan.
Di samping kekentalan dalam menyerap asakan lawan, Bonucci juga cemerlang dalam menghadiahkan jaringan penyamaan buat Itali ketika bertemu England.
Bek tengah: Harry Maguire (England)
Terlepas dua perlawanan awal serta sentiasa menjadi mangsa kritikan penyokong, Maguire tidak terkesan dengan keadaan tersebut untuk menjelmakan aksi bertenaga.
Beraksi pada lima perlawanan, beliau berjaya membantu England mendapatkan tiga ‘clean sheets’ dan sekadar dibolosi dua gol yang mana salah satunya hadir menerusi situasi sepakan percuma Mikkel Damsgaard.
Maguire turut berupaya menjaringkan gol pada perlawanan suku akhir bertemu Ukraine menerusi tandukan.
Bek kiri: Luke Shaw (England)
Pemain bek kiri yang menikmati musim cemerlang di peringkat domestik ini meneruskan kecemerlangannya ketike menyarung jersi England.
Empat ‘clean sheets’, tiga bantuan jaringan serta satu jaringan yang merupakan yang terpantas pada perlawanan akhir sudah cukup untuk menceritakan tentang kemampuan Shaw pada ketika ini.
Pemain tengah: Jorginho (Itali)
Antara pemain yang disifatkan mampu untuk meraih gelaran Ballon d’Or selepas turut merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Chelsea.
Meskipun beliau tidak menyumbangkan gol atau mencipta sebarang bantuan jaringan, Jorginho memainkan peranan penting dalam mengemudi jentera tengah Itali.
Berdasarkan statistik, beliau berjaya melakukan 495 hantaran tepat dan bertindak cemerlang dalam mengawal tempo permainan skuad Azzurri itu.
Pemain tengah: Pedri (Sepanyol)
‘Wonderkid’ yang dinobatkan selaku pemain muda terbaik kejohanan ini tidak wajar diketepikan susulan aksi dipamerkannya dalam membantu Sepanyol ke separuh akhir.
Hanya pada usia 18 tahun, Pedri sudah berjaya menampilkan gaya permainan matang dalam melengkapkan 65 daripada 67 hantaran tepat pada pertemuan menentang Itali.
Dengan 177 hantaran tepat di kawasan ‘final third’ serta berupaya mencipta 11 peluang buat rakan sepasukannya, tidak hairanlah Luis Enrique memberikan pujian menggunung terhadap pemain tersebut.
Pemain tengah: Marco Veratti (Itali)
Terlepas dua perlawanan awal berikutan kecergasan yang tidak berada di tahap terbaik, Veratti kemudiannya tampil dengan impak positif buat pasukan.
Sejak daripada perlawanan pertamanya menentang Wales, beliau berjaya mencipta 14 peluang buat rakan sepasukan, mencatatkan 388 hantaran tepat, 18 terjahan bersih dan membentuk gandingan mantap bersama Jorginho di bahagian tengah.
Sayap kanan: Federico Chiesa (Itali)
Apabila Chiesa turun beraksi, kelincahannya sudah pasti menjadi masalah buat barisan pertahanan lawan. Beraksi di kejohanan utama pertama buatnya, beliau pantas membalas kepercayaan Mancini.
Pusingan kalah mati jelas menampakkan sumbangan berkesan Chiesa apabila beliau berjaya menjaringkan gol ketika bertemu Austria selepas dimasukkan pada minit ke-84.
Ketenangan penyudah dimilikinya terus terbukti setelah beliau menjaringkan gol pembukaan pada aksi separuh akhir menentang Sepanyol hasil percubaan melencong cantik.
Sayap kiri: Raheem Sterling (England)
Sterling mungkin tidak digemari ramai susulan dakwaan beliau sengaja menjatuhkan diri sehingga menyebabkan England memperoleh sepakan penalti pada aksi separuh akhir menentang Denmark.
Tetapi, beliau memainkan peranan besar dalam menjaringkan tiga gol pada empat perlawanan awal England dalam Euro 2020.
Beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan pada pertemuan dengan Croatia dan Republik Czech manakala membuka tirai jaringan menentang Jerman serta mencipta bantuan jaringan kepada gol Harry Kane [bertemu Ukraine].
Beliau juga berupaya melakukan 20 ‘dribbles’ lengkap sepanjang kejohanan.
Penyerang: Patrik Schick (Republik Czech)
Mungkin ada yang merasakan Cristiano Ronaldo lebih sesuai untuk posisi penyerang tetapi penulis berpendapat sebaliknya dengan meletakkan Schick.
Membawa cabaran pasukan yang tidak terlalu diberikan harapan untuk mara sehingga ke suku akhir, Schick berjaya menjaringkan lima gol [terikat dengan Cristiano Ronaldo].
Selain itu, beliau turut mengejutkan banyak pihak dengan jaringan daripada tengah padang sekali gus membolosi gawang Scotland yang dikawal David Marshall.
Kesimpulan
Senarai di atas merupakan pandangan peribadi penulis dan sudah pastinya akan terdapat percanggahan pendapat dalam kalangan pembaca.
Oleh itu, berikan pilihan ‘Best XI’ mengikut pandangan peribadi anda di ruangan komen.