Selangor memulakan kempen Liga Super musim 2023 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan United dalam perlawanan pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Baca Juga:

Dalam perlawanan ini, pengendali Gergasi Merah, Tan Cheng Hoe mengandingkan pemain kebangsaan, Faisal Halim bersama dua pemain import baharu, Yohandry Orozco dan Ayron Rodriguez di bahagian serangan.

Bermula daripada minit pertama, Selangor tampak bergelut untuk mencari jaringan pembukaan dan sukar menembusi benteng pertahanan Kelantan United yang beraksi dengan cukup berdisiplin.

Bagaimanapun, pada minit ke 40, Stadium MBPJ akhirnya bergema dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Yazan Al Arab menanduk masuk sepakan penjuru Faisal Halim untuk gol pertama Selangor.

Jaringan itu membangkitkan semangat pemain Selangor untuk terus mencari gol kedua namun separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0.

Separuh masa kedua menyaksikan Kelantan United mula memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor apabila melakukan beberapa percubaan berbahaya.

Tuan rumah juga nyaris menjaringkan gol kedua menerusi Brendan Gan yang menerima hantaran cantik daripada Mukhairi Ajmal namun rembatannya tersasar pada minit ke 80.

Malah, penjaga gol Kelantan United, Ahmad Asyraaf Omar juga cemerlang menafikan tandukan jarak dekat Ayron Rodriguez pada minit ke 82.

Pada minit ke 86, Kelantan United memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol penyamaan namun penjaga gol tuan rumah, Khairul Azhan berjaya menghalang rembatan Muhammad Aqil Hilman.

Akhirnya, pengadil meniupkan wisel penamat sekaligus memastikan Selangor mengutip tiga mata penuh ke atas skuad Kijang Hijau itu.

Selepas ini, Selangor akan bertemu Kuching City di Stadium Negeri Sarawak pada 2 Mac manakala Kelantan United akan terbang ke Kota Kinabalu bertemu Sabah pada 1 Mac ini.