Pengurus pasukan Selangor, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengesahkan pihaknya tidak dapat menggunakan Stadium Shah Alam dalam baki saingan Liga Malaysia 2020 yang akan kembali bersambung pada bulan Ogos depan.

Skuad kendalian B. Satinanthan itu tidak dapat beraksi di stadium tersebut disebabkan oleh kerosakan dibahagian bumbung yang perlu diperbaiki serta tidak melepasi piawaian yang ditetapkan oleh badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL).

Proses baik pulih bumbung stadium itu dijangka akan mengambil masa selama 2 tahun bergantung kepada kelulusan daripada pengelola Stadium Shah Alam, Darul Ehsan Facility Management (DEFM).

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah memohon kepada MFL untuk menggunakan Stadium UiTM Shah Alam sebagai gelanggang sementara manakala skuad Selangor 2 akan menggunakan Stadium MBPJ.

“Saya boleh sahkan kita tak dapat gunakan Stadium Shah Alam sebab tidak melepasi piawaian yang dikehendaki oleh pihak MFL.

“Oleh itu kita sudah memohon Stadium Mini UiTM sebagai gelanggang ganti namun segala-galanya terpulang kepada pihak UiTM dan MFL untuk meluluskannya,” katanya dalam Arena Metro. 

FAS
Sumber Gambar: DEFM

Saingan Liga Super kembali bersambung pada 26 Ogos ini. Walaupun terpaksa ‘tumpang’ beraksi di stadium lain, namun ia tidak mematahkan semangat pemain Selangor untuk terus menjalani latihan.

“Pemain amat komited dan bersungguh-sungguh dalam latihan dan saya fikir perubahan stadium ini tidak akan menjejaskan pasukan.

“Kita akan cuba aturkan latihan di venue baru itu selepas mendapat lampu hijau daripada MFL selain turut menjaga SOP (Prosedur Operasi Standard) untuk elak Covid-19,” katanya.

MFL sebelum ini mendapati Stadium Shah Alam yang didaftar menjadi tidak berada di tahap menyakinkan bermula pemeriksaan keselamatan pertama pada 10 Januari 2020 disusuli pemeriksaan kedua (21 Februari) dan ketiga (28 Februari).

Baca artikel lain mengenai isu Stadium Shah Alam di sini:

TERKINI: Tonton Video Paparan Keadaan Semasa Bumbung Stadium Shah Alam Yang Sangat Daif

Pegawai Undang-Undang Ini Berkongsi Pandangan Isu Keselamatan Stadium Shah Alam Dari Sudut Perundangan

FAS Dan Pengelola Stadium Shah Alam Giat Berusaha Dapatkan Kelulusan